IPOH: Polis giat mengesan suspek dipercayai terlibat dalam kejadian mencuri kabel di Jalan Tambun di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah berkata kejadian itu dipercayai berlaku di hadapan sebuah hospital kira-kira pukul 4.05 pagi.
Advertisement
Rakaman video berdurasi 25 saat tular di media sosial yang memaparkan kejadian cubaan mencuri kabel itu di sekitar kawasan Jalan Tambun di sini.
"Berdasarkan rakaman video berkenaan, suspek dipercayai menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan telah membuka mainhole di tengah-tengah jalan tersebut bagi tujuan mencuri kabel.
"Bagaimanapun, suspek dipercayai melarikan diri dengan memecut kenderaan selepas menyedari perbuatannya telah dirakam oleh orang awam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Najib berkata pihaknya sedang giat menjalankan usaha mengesan suspek yang terlibat termasuk mendapatkan maklumat daripada saksi serta rakaman kamera litar tertutup di sekitar kawasan kejadian bagi membantu siasatan.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri.
-- BERNAMA