Skip to main content

Dunia

[KOLUMNIS] Siapa sebenarnya penyerang Renjer di Narathiwat?

This image taken from video provided by Internal Security Operations Command Region 4 shows a group of the alleged attackers riding on a back of a black pickup truck before they opened fire and threw pipe bombs at soldiers at a security checkpoint in Narathiwat province, Thailand, Wednesday, July 22, 2026. (Internal Security Operations Command Region 4 via AP)
Tangkap layar video menunjukkan kumpulan penyerang menaiki sebuah trak pikap hitam sebelum mereka melepaskan tembakan dan membaling bom ke arah anggota tentera di sebuah sekatan keselamatan di wilayah Narathiwat, 22 Julai lalu. - Gambar/ AP
Advertisement

PENEMBAK dalam serangan di Pos Pemeriksaan Bukeh Sami, daerah Ra-ngae, wilayah Narathiwat, Thailand pada 22 Julai 2026 dilaporkan memakai kelengkapan operasi penuh.

Namun, seperti biasa, naratif awal segera mengaitkan serangan itu dengan puak pemisah Islam.

Tetapi benarkah?

Atau sekali lagi kita sedang disajikan dengan naratif yang sengaja dibentuk untuk menuding jari kepada umat Islam di selatan Thailand?

Persoalannya, jika benar serangan itu dilakukan oleh puak pemisah, mengapa penampilan dan kelengkapan penyerang kelihatan seperti operasi terancang dan profesional

Adakah ini benar-benar corak operasi kumpulan pemisah atau ada pihak lain yang sedang bermain di belakang tabir?

Sejarah konflik di selatan Thailand bukanlah bersih daripada persoalan.

Sudah berulang kali timbul dakwaan bahawa ulama, imam masjid dan guru agama menjadi mangsa pembunuhan atau operasi tertentu sebelum naratif rasmi segera mengaitkannya dengan kumpulan Islam bersenjata.

Jadi, siapa sebenarnya yang mahu wilayah selatan Thailand terus bergolak?

Siapa yang mendapat keuntungan apabila penduduk Muslim terus hidup dalam ketakutan?

Dan siapa yang paling mendapat manfaat apabila setiap serangan boleh digunakan untuk menuduh umat Islam sebagai punca keganasan?

Lebih mencurigakan, semua ini berlaku dalam suasana geopolitik yang semakin tegang.

Bangkok mempunyai hubungan rapat dengan Israel manakala Thailand juga sering menjadi lokasi kunjungan dan aktiviti pelbagai pihak berkepentingan dari luar.

Adakah kemungkinan wujud operasi bendera palsu untuk mencetuskan kekacauan, memburukkan masyarakat Muslim dan akhirnya mengheret Malaysia ke dalam naratif keselamatan serantau?

Malaysia sudah berdekad-dekad tidak membenarkan kemasukan warga Israel.

Jadi, mengapa isu ini tiba-tiba menjadi begitu sensitif dalam konteks geopolitik semasa?

Kita tidak menuduh sesiapa.

Tetapi kita juga bukan bodoh untuk menerima bulat-bulat setiap kenyataan rasmi tanpa mempersoalkan siapa yang sebenarnya berada di belakang sesuatu serangan.

Jika benar puak pemisah Islam yang bertanggungjawab, buktikan.

Jika ada pihak lain yang sedang bermain api dan menjadikan umat Islam sebagai kambing hitam, bongkarkan.

Rakyat selatan Thailand berhak mengetahui kebenaran bukan sekadar menerima naratif yang disuapkan kepada mereka.

Semoga Allah melindungi penduduk Muslim di selatan Thailand dan membuka segala kebenaran yang selama ini cuba disembunyikan.

Lebih 200 tahun penduduk di selatan Thai diperlaku tanpa maruah kemanusian sejak kejatuhan kerajaan Islam Melayu Patani.

Penderitaan Patani dan Palestin hampir sama.

Tanah mereka dikuasai dan diberi kepada pendatang Buddha, identiti jati diri terus dihakis, bahasa Melayu dan tulisan jawi dinafi dan ramai yang tidak tahu, penduduk awam hilang begitu tanpa dapat dikesan.

Begitu banyak pembunuhan dan genosid yang tidak dihebah kerana kepandaian kerajaan pusat Bangkok memanipulasi isu.

Masih ingatkah lagi dengan peristiwa  berdarah Tak Bai yang meragut 85 nyawa pada 25 Oktober 2004?

Ia salah satu bukti layanan buruk tentera ke atas penduduk Melayu.

Dalam kejadian itu, pasukan keselamatan Thailand bertindak menyuraikan demonstrasi di hadapan balai polis Tak Bai.

Tujuh orang terbunuh di lokasi manakala kira-kira 1,300 orang ditahan.

Mereka kemudiannya dihimpunkan dan diangkut dalam keadaan bertindih ke kem tentera menyebabkan 78 orang meninggal dunia akibat sesak nafas dan lemas dalam perjalanan.

Secara keseluruhan, 85 orang terbunuh dalam insiden itu.

Peristiwa itu menjadi antara tragedi paling kontroversi dalam konflik berpanjangan di selatan Thailand dan terus mencetuskan tuntutan keadilan serta pertanggungjawaban terhadap pelaku.

Sehingga ke hari ini di manakah keadilan?

Keluarga mangsa diberi pampasan tetapi itu kematian tragis bukannya boleh dinilai atau digant8 dengan wang ringgit!

Perasan amarah dan dendam akan tetap berparut.

Begitu juga dengan serangan terhadap Masjid Al-Furqan di Kampung Ai Payae, daerah Cho Ai Rong, pada 8 Jun 2009.

Dalam kejadian itu, enam lelaki bersenjata bertopeng dan berpakaian hitam melepaskan tembakan ke arah jemaah yang sedang menunaikan solat Isyak.

Seramai 10 orang terbunuh termasuk imam masjid manakala sekurang-kurangnya 12 yang lain cedera.

Identiti dan kumpulan yang bertanggungjawab ketika itu tidak disahkan secara muktamad kerana ia mempunyai kaitan dengan tentera.

Begitu juga dengan kes pada 20 Mac 2026, sekumpulan penyerang bersenjata melepaskan tembakan menggunakan senapang M-16 ke arah kenderaan yang dinaiki ahli Parlimen Parti Prachachart, Kamonsak Leewamoh di kediamannya di daerah Bacho, Narathiwat.

Beliau tidak cedera tetapi pemandu dan pengiringnya cedera parah.

Kes itu kemudiannya disiasat sebagai cubaan pembunuhan yang dipercayai mempunyai unsur politik.

Tiga lelaki yang didakwa sebagai penembak ditahan dan membabitkan bekas anggota marin namun dalang atau pihak yang mengarahkan serangan tidak didedahkan.

Sampai ke hari ini, pembunuhan terancang terus jadi mainan pihak berkepentingan di selatan Thailand.

Keadaan yang sentiasa bergolak memudahhkan pelakunya berselindung.

Tudingan yang mudah, ia angkara pemisah, pengedar dadah dan penjenayah.

Walhal, ada pihak yang berkepentingan tidak ingin melihat penduduk Melayu di sebelah selatan hidup aman makmur seperti saudara mereka di Malaysia.


*Razali Awang ialah Perunding Media Alkhair Malaysia
**Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

 

Must Watch Video

Advertisement