BANGKOK: Thailand sedang mengkaji langkah untuk memperkukuh pertahanannya terhadap ancaman keselamatan siber baru muncul yang menyasarkan sistem penyimpanan makanan, dengan tumpuan kepada usaha melindungi pengeksport dan perniagaan makanan di negara itu.
Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul berkata beliau telah mengarahkan Kementerian Perdagangan menyiasat laporan mengenai serangan siber terhadap sistem penyejukan makanan di luar negara serta menilai potensi implikasinya terhadap Thailand.
Anutin, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata insiden melibatkan dakwaan penggodaman sistem penyimpanan makanan untuk memanipulasi suhu sehingga menyebabkan makanan rosak itu merupakan satu bentuk ancaman siber baharu yang memerlukan perhatian lebih serius.
"Agensi di bawah Kementerian Ekonomi Digital dan Masyarakat mesti memastikan penggodaman dan penyalahgunaan teknologi siber tidak mengganggu operasi agensi kita," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pada Selasa.
Beliau berkata perkara itu telah dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet pada awal hari berkenaan, dengan agensi kerajaan berkaitan ditugaskan untuk memantau dan menangani risiko yang mungkin timbul.
Anutin berkata Polis Diraja Thailand dan Biro Siasatan Jenayah Siber (CCIB) sedang memantau situasi itu, sambil menekankan keperluan Thailand untuk terus mengkaji ancaman siber yang baru muncul berkenaan.
Pada Isnin, media melaporkan bahawa penjenayah siber sekali lagi menyasarkan sistem penyejukan di pasar raya Eropah sehingga menyebabkan suhu peti sejuk dan penyejuk beku meningkat.
Bagaimanapun, Anutin berkata Thailand sebagai negara pengeksport utama makanan juga perlu mempertimbangkan langkah perlindungan dalam urus niaga eksport, termasuk merangka terma kredit dan syarat pembayaran dengan teliti serta menilai sama ada perlindungan insurans diperlukan bagi melindungi pengeluar dan peniaga.
Beliau memberi amaran bahawa pengeksport tidak seharusnya dibiarkan terdedah kepada risiko kerugian sekiranya pembeli luar negara menjadikan dakwaan kerosakan sistem penyejukan atau produk rosak atau tidak memenuhi piawaian sebagai alasan untuk menahan pembayaran.
"Kita juga mesti melindungi kepentingan penjual. Kita tidak boleh membiarkan barangan tiba di destinasi hanya untuk pembeli mendakwa produk itu rosak atau tidak memenuhi piawaian, kemudian enggan membuat pembayaran," katanya.
Anutin menyuarakan keyakinan bahawa agensi Thailand mempunyai keupayaan untuk mewujudkan langkah perlindungan yang sewajarnya serta melindungi perniagaan tempatan daripada ancaman teknologi seumpama itu.
-- BERNAMA