Skip to main content

Malaysia

FRIM kenal pasti 59 spesies tumbuhan ubatan Orang Asli berpotensi dikomersialkan

FRIM sudah mendokumentasi lebih 800 spesies tumbuhan ubatan yang digunakan masyarakat Orang Asli untuk tujuan perubatan, pemakanan dan penjagaan kesihatan sejak 2009. - Gamnbar hiasan
FRIM sudah mendokumentasi lebih 800 spesies tumbuhan ubatan yang digunakan masyarakat Orang Asli untuk tujuan perubatan, pemakanan dan penjagaan kesihatan sejak 2009. - Gamnbar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mengenal pasti 59 spesies tumbuhan ubatan yang digunakan masyarakat Orang Asli dan berpotensi dibangunkan menjadi produk komersial menerusi penyelidikan berasaskan pengetahuan tradisi.

Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Ismail Parlan berkata penemuan itu hasil usaha mendokumentasikan lebih 800 spesies tumbuhan ubatan yang digunakan masyarakat Orang Asli untuk tujuan perubatan, pemakanan dan penjagaan kesihatan sejak 2009.

Beliau berkata daripada jumlah itu, kira-kira 125 spesies telah dibawa ke makmal untuk dianalisis, dengan 59 dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan, manakala empat spesies dipilih bagi menghasilkan ekstrak piawai dan produk prototaip.

Advertisement

“Antara produk yang telah dibangunkan ialah SpectaCare, rangkaian produk penjagaan diri berasaskan tumbuhan carwak,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Perasmian Seminar Pemuliharaan dan Pemerkasaan Pengetahuan Tradisi (TK) 2026 di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata penyelidikan berasaskan sumber biologi yang berpotensi dikomersialkan perlu mematuhi prosedur Keizinan Termaklum Awal (PIC) dan Terma yang Dipersetujui Bersama (MAT) selaras dengan Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 [Akta 795].

Advertisement

Beliau berkata langkah itu penting bagi melindungi hak masyarakat Orang Asli sebagai pemilik asal pengetahuan tradisi, serta memastikan manfaat kewangan dan bukan kewangan hasil penyelidikan dikongsi secara adil dan saksama.

Ismail berkata FRIM kini menunggu persetujuan Kerajaan Negeri Perak bagi memuktamadkan perjanjian perkongsian faedah sebelum prototaip SpectaCare ditawarkan kepada pihak industri untuk dikomersialkan.

“Apabila persetujuan diperoleh, kita akan menghebahkan dan mempelawa pihak industri yang berminat untuk mengambil produk ini bagi tujuan pengkomersialan,” katanya.

Ketua Program Sumber Biologi FRIM Dr Fadzureena Jamaludin berkata kos tinggi bagi menjalankan kajian saintifik menyebabkan FRIM perlu memberikan keutamaan kepada spesies yang mempunyai potensi paling besar untuk dibangunkan, manakala rundingan perkongsian faedah bersama kerajaan negeri masih berjalan.

SpectaCare berasaskan tumbuhan Zingiber spectabile atau carwak yang secara tradisinya digunakan masyarakat Orang Asli sebagai mandian herba untuk melegakan panas badan, demam dan sakit kepala. Rangkaian produk itu merangkumi gel mandian, sabun badan, losen serta semburan muka dan badan.

Pembangunan produk itu melibatkan sembilan komuniti Orang Asli daripada lapan suku kaum di lima negeri. FRIM turut menjalankan kajian saintifik bagi menilai aktiviti antiradang tumbuhan berkenaan serta membangunkan ladang rintis di Stesen Penyelidikan FRIM Maran, Pahang, bagi memastikan bekalan bahan mentah berterusan.

Ismail berkata kejayaan pelaksanaan mekanisme perkongsian faedah di Perak diharap dapat dijadikan contoh kepada negeri lain termasuk Pahang dan Johor, selain menekankan kepentingan sokongan serta peruntukan kerajaan bagi memastikan usaha mendokumentasikan pengetahuan tradisi masyarakat Orang Asli terus dilaksanakan.

Pada majlis itu, Anis Rizana turut melancarkan prototaip SpectaCare. Seminar edisi kelapan anjuran FRIM itu menghimpunkan 150 peserta, termasuk 50 wakil Orang Asli daripada 25 perkampungan mewakili 17 suku kaum, selain wakil agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan ahli akademik.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement