[KOLUMNIS] Sistem kesihatan Sudan di ambang runtuh
![[KOLUMNIS] Sistem kesihatan Sudan di ambang runtuh [KOLUMNIS] Sistem kesihatan Sudan di ambang runtuh](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2026-01/81769661344_HospitalSudan.jpg)
Hospital Adhamir, Negeri Sungai Nil, Sudan masih mampu beroperasi dengan penuh kerana terselamat daripada serangan langsung, namun kemudahannya amat daif dan serba kekurangan. - Gambar Astro AWANI/ RAZALI AWANG
KONFLIK bersenjata yang berpanjangan di Sudan, khususnya antara tentera kerajaan dan kumpulan pemberontak Rapid Support Forces (RSF) telah menyebabkan sistem kesihatan negara itu berada pada tahap kritikal dan hampir lumpuh.
Menurut laporan pelbagai agensi kemanusiaan, termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan 70 hingga 80 peratus kemudahan kesihatan di kawasan terjejas kini tidak lagi berfungsi atau hanya beroperasi pada tahap minimum akibat serangan, kekurangan sumber manusia dan kemusnahan infrastruktur.
Situasi getir ini turut disaksikan oleh anggota misi kemanusiaan Save Sudan, yang terdiri daripada Alkhair Malaysia dan Global Peace Mission (GPM) Malaysia, semasa lawatan mereka ke Hospital Adhamir di negeri Sungai Nil baru-baru ini.
Ia masih mampu beroperasi dengan penuh kerana terselamat daripada serangan langsung, namun kemudahannya amat daif dan serba kekurangan.
Dengan kemudahan sekitar 150 buah katil, hospital berkenaan kini menerima pesakit berlipat kali ganda jumlah asal, termasuk pelarian dalaman (IDP) dari kawasan bergolak seperti Khartoum, Darfur, dan Kordofan.
Pengarah hospital, Dr Ahmad Abdul Qayum menjelaskan, hospital terpaksa menggunakan sistem triaj kecemasan untuk mengutamakan pesakit mengikut tahap kecederaan dan keseriusan penyakit.
Katanya, sistem berkenan bertujuan memastikan mereka yang paling kritikal mendapat rawatan cepat dan nyawa dapat diselamatkan.
Di zon merah pesakit berada dalam keadaan kritikal yang mengancam nyawa seperti serangan jantung, tidak sedarkan diri, pendarahan teruk akan diberikan rawatan serta merta.
Manakala di Zon Kuning pula menempatkan pesakit dalam keadaan separa kritikal atau stabil tetapi memerlukan pemantauan dan rawatan rapi dan di Zon Hijau ia membabitkan pesakit tidak kritikal, stabil, dan biasanya mampu berjalan sendiri.
Namun, katanya, kekurangan tenaga kerja, peralatan dan ubat-ubatan amat menjejaskan keberkesanan sistem itu.
“Kami beroperasi dengan sumber yang sangat terhad. Banyak peralatan penting sudah rosak atau tidak berfungsi. Pada masa ini, hanya sebuah ambulans masih boleh digunakan,” jelasnya.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Sudan kini berdepan krisis kesihatan paling serius sejak beberapa dekad.
Sekurang-kurangnya 70 peratus pusat kesihatan tidak mempunyai antibiotik asas, manakala 85 peratus kekurangan ubat malaria, penyakit yang menjadi antara punca utama kematian di negara itu.
Dr Ahmad menegaskan, unit kecemasan hospital amat memerlukan peralatan diagnostik moden seperti mesin Pengimbas Imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan) dan mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).
Tanpa kedua-duanya, banyak kes kecederaan dalaman dan trauma kepala tidak dapat dikenal pasti atau dirawat tepat pada waktunya.
Ketika meninjau ke wad kanak-kanak, sukarelawan misi Save Sudan menyaksikan pemandangan paling menyayat hati bayi dan kanak-kanak kecil yang mengalami kekurangan zat makanan (malnutrisi akut) terbaring lemah di katil dengan tubuh kurus, sementara ibu mereka menunggu harapan bantuan tiba.
Menurut WHO dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Sudan kini menghadapi antara kadar malnutrisi tertinggi di dunia, dengan lebih 4.2 juta kanak-kanak serta wanita hamil dan menyusu diramalkan akan mengalami malnutrisi akut menjelang 2026 jika keadaan tidak berubah.
Di Darfur Utara sahaja, seorang kanak-kanak dirawat untuk malnutrisi akut setiap enam minit pada tahun 2025.
Selain kebuluran dan kekurangan zat, negara itu turut dibelenggu ancaman wabak penyakit akibat infrastruktur air dan sanitasi yang musnah.
Data WHO menunjukkan bahawa pada tahun 2025, wabak kolera atau taun telah menyebabkan lebih 17,600 kes dan 607 kematian di seluruh Sudan.
Kes malaria, denggi, dan campak juga meningkat secara mendadak, dengan lonjakan lebih 169 peratus berbanding tahun sebelumnya akibat persekitaran tidak bersih dan ketiadaan kawalan vektor.
Atas keperluan itu misi kemanusiaan antarabangsa termasuk GPM Malaysia, Alkhair Malaysia dan beberapa NGO tempatan kini mempergiat usaha menyalurkan bantuan makanan, ubat-ubatan, peralatan perubatan asas serta sistem penapisan air ke kawasan yang masih boleh diakses.
Namun, cabaran besar masih wujud termasuk keselamatan konvoi bantuan, kekangan logistik dan gangguan komunikasi di kebanyakan kawasan yang masih bergolak.
Sebelum ini, WHO dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyeru pihak-pihak yang bertelagah supaya memberi laluan selamat kepada bantuan antarabangsa.
Krisis di Sudan bukan sekadar konflik bersenjata kerana ia telah berubah menjadi krisis kemanusiaan berskala besar dengan sistem kesihatan negara hampir lumpuh, jutaan rakyat kehilangan akses kepada rawatan perubatan asas, dan generasi masa depan terancam akibat kebuluran serta penyakit.
Jika tindakan segera tidak diambil,berjuta-juta nyawa khususnya kanak-kanak akan menjadi korban dalam diam.
* Razali Awang ialah Perunding Media Alkhair Malaysia
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


