BEIRUT: Angka kematian di Lubnan akibat perang yang berterusan telah meningkat kepada 2,387 orang, menurut laporan agensi berita rasmi negara itu, National News Agency (NNA).
NNA memetik data terbaharu daripada Unit Pengurusan Risiko Bencana kerajaan Lubnan yang menunjukkan peningkatan sebanyak 93 kematian berbanding angka terakhir yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Lubnan pada Jumaat lalu.
Advertisement
Selain itu, agensi berita berkenaan turut melaporkan bahawa seramai 7,602 orang telah mengalami kecederaan sepanjang tempoh konflik tersebut, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang dihadapi negara itu.
Peningkatan angka korban itu berlaku ketika pertempuran terus memberi kesan besar terhadap infrastruktur awam, perkhidmatan kesihatan dan kehidupan harian penduduk di beberapa kawasan di Lubnan.
Sementara itu, perkembangan di Lubnan itu menyusuli laporan berasingan sebelum ini daripada agensi berita Mehr, yang dikaitkan dengan dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), melaporkan bahawa seramai 3,375 orang telah terbunuh di Iran dalam tempoh konflik yang sama.
Laporan tersebut memetik kenyataan ketua Pertubuhan Perubatan Forensik Iran.
Kedua-dua laporan itu menyerlahkan skala kemusnahan dan korban nyawa yang semakin meningkat akibat konflik serantau, ketika masyarakat antarabangsa terus menggesa usaha ke arah gencatan senjata dan penyelesaian diplomatik bagi mengelakkan krisis kemanusiaan yang lebih buruk.