Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Iran buka semula lapangan terbang di Tehran

AP
Pembukaan semula itu menandakan langkah penting ke arah pemulihan pergerakan udara awam di negara tersebut. - Foto AP

TEHRAN: Iran telah membuka semula dua lapangan terbang utama di ibu negara, Tehran, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini dan Lapangan Terbang Mehrabad, selepas beberapa minggu operasi penerbangan terhenti akibat konflik bersenjata dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Pembukaan semula itu menandakan langkah penting ke arah pemulihan pergerakan udara awam di negara tersebut selepas perang yang berlarutan menjejaskan keselamatan dan operasi penerbangan, termasuk penerbangan domestik dan antarabangsa.

Advertisement

Menurut agensi berita ISNA, Pertubuhan Penerbangan Awam Iran turut memberi kelulusan untuk membuka semula beberapa lapangan terbang lain di seluruh negara bermula Sabtu ini.

Antara lapangan terbang yang terlibat ialah di Urmia, Kermanshah, Abadan, Shiraz, Kerman, Rasht, Yazd, Zahedan, Gorgan dan Birjand.

Penutupan lapangan terbang sebelum ini dibuat sebagai langkah keselamatan berikutan serangan dan ketegangan ketenteraan yang memuncak, sekali gus menyebabkan hampir keseluruhan trafik udara di ruang udara Iran terhenti.

Keadaan itu turut menjejaskan perjalanan penumpang, logistik serta operasi perdagangan.

Setakat ini, pihak berkuasa Iran belum memperincikan jadual penuh penerbangan atau tahap pembukaan semula ruang udara antarabangsa, namun langkah tersebut dilihat sebagai isyarat keadaan keselamatan yang semakin stabil.

Pemerhati menjangkakan pembukaan semula lapangan terbang secara berperingkat akan membantu memulihkan aktiviti ekonomi dan perhubungan domestik, selain memberi kelegaan kepada ribuan penumpang yang terkesan akibat konflik berkenaan.
 

Must Watch Video