Skip to main content

Politik

PRN Johor: Aznan tekad perkasa ekopelancongan, industri minyak dan gas di Tanjung Surat

Sumber: BERNAMA
Aznan menjawab soalan wartawan selepas mengadakan sesi ramah mesra bersama komuniti nelayan di Jeti Nelayan Sungai Rengit, Kota Tinggi. - Gambar Bernama
Advertisement

KOTA TINGGI: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin bertekad memperkasakan sektor ekopelancongan serta industri minyak dan gas sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi kawasan itu, sekiranya diberi mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Calon Barisan Nasional (BN) itu berkata, Tanjung Surat mempunyai pelbagai potensi ekonomi yang boleh dimanfaatkan, termasuk kawasan pantai yang indah dan sesuai dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan.

Beliau berkata, pembangunan sektor itu bukan sahaja mampu meningkatkan daya tarikan Tanjung Surat sebagai destinasi pelancongan, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

“Pendekatan ini bukan sahaja dapat mempopularkan Tanjung Surat, malah memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya selepas mengadakan sesi ramah mesra bersama komuniti nelayan di Jeti Nelayan Sungai Rengit, di sini.

Aznan berkata, kedudukan Tanjung Surat yang berhampiran hab industri minyak dan gas, turut membuka peluang untuk menyediakan lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi, khususnya kepada golongan belia.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor itu berkata, usaha tersebut akan disokong menerusi penyediaan latihan serta program peningkatan kemahiran, bagi memastikan lebih ramai anak tempatan memenuhi keperluan tenaga kerja industri berkenaan.

“Kita mahu anak-anak muda diberi perhatian dengan tambahan kemahiran yang bersesuaian, supaya mereka boleh bekerja dalam sektor minyak dan gas, sekali gus dapat tinggal dan bekerja di kampung sendiri,” katanya.

Selain memperkukuh sektor ekonomi, beliau yang mesra disapa sebagai “YB Nanan” berkata, penambahbaikan infrastruktur asas seperti jalan raya dan lampu jalan, akan terus menjadi keutamaan bagi meningkatkan keselesaan serta keselamatan penduduk.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memasang lampu jalan di beberapa lokasi, khususnya di laluan Bandar Penawar-Pengerang dan usaha itu akan diteruskan bagi menyokong pembangunan kawasan pelancongan.

“Kalau kawasan pelancongan itu cantik tetapi pencahayaannya kurang, ia akan kelihatan suram. Sebab itu kita beri perhatian kepada aspek infrastruktur ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan, agenda kebajikan rakyat akan terus diperkasakan, bagi memastikan pembangunan yang dirancang memberi manfaat menyeluruh kepada penduduk Tanjung Surat.

DUN Tanjung Surat menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Aznan dan calon Pakatan Harapan (PH) Faizul Abdul Ghani.

PRN Johor ke-16 akan diadakan 11 Julai ini, manakala pengundian awal ditetapkan pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.

-- BERNAMA

N39: TANJUNG SURAT - 26,943 pengundi

1. Faizul Abdul Ghani (PH-PKR)

2. Aznan Tamin (BN-UMNO)

(2022: Aznan Tamin: UMNO: Maj: 5,903)

 

Must Watch Video

Advertisement