TEHRAN: Data pengesanan kapal menunjukkan Iran mula membenarkan sebilangan kecil kapal komersial merentasi Selat Hormuz, walaupun trafik di laluan minyak paling kritikal di dunia itu masih merosot lebih 95 peratus sejak tercetusnya perang melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Firma risikan maritim, Windward, melaporkan sebanyak lapan buah kapal dikesan melalui selat tersebut pada Isnin, iaitu jumlah hampir dua kali ganda berbanding beberapa hari sebelum ini.
Advertisement
Penganalisis memaklumkan bahawa kapal-kapal dari negara yang dianggap "mesra" oleh Tehran, termasuk China, India dan Pakistan, dikesan melencong masuk ke perairan wilayah Iran, sekali gus memberi gambaran mengenai pelaksanaan transit berasaskan kebenaran khas, lapor Al Jazeera.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menegaskan bahawa laluan strategik itu kekal dibuka namun "tertutup buat musuh" mereka, susulan amaran keras oleh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) sebelum ini yang mengancam untuk menyerang mana-mana kapal yang cuba menceroboh.
Sekatan de-facto di selat yang mengendalikan satu perlima bekalan minyak global itu telah menyebabkan harga minyak mentah dunia melonjak melebihi AS$100 setong, peningkatan lebih 40 peratus sejak konflik bermula pada 28 Februari lalu.
Sementara itu di Washington, Presiden Donald Trump menyatakan bahawa AS tidak memerlukan bantuan negara lain untuk membuka semula laluan tersebut, sambil menyelar rakan sekutu NATO yang enggan menyertai gabungan antarabangsa bagi mengawal keselamatan selat tersebut.
"Walaupun kita telah banyak membantu mereka, mereka tidak mahu membantu kita, ini sesuatu yang amat mengejutkan," kata Trump ketika bertemu Perdana Menteri Ireland di Oval Office pada Selasa.