Skip to main content

Dunia

"Janji mesti ditepati", von der Leyen gesa Trump hormati tarif EU 15 peratus

81768181858_TBUrsula.jpg
Von der Leyen menegaskan, penyelarasan dengan siling yang dipersetujui masih belum diselesaikan. EU juga mengancam AS dengan tindakan balas sekiranya ia melaksanakan kenaikan tarif yang diumumkan terhadap barangan EU. - Gambar fail

YEREVAN: Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen menggesa Washington supaya menghormati komitmennya di bawah perjanjian tahun lepas untuk mengehadkan tarif Amerika Syarikat (AS), selepas Presiden AS Donald Trump mengancam untuk menaikkan duti ke atas kenderaan susulan dakwaan pelanggaran oleh blok berkenaan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Di pihak Kesatuan Eropah (EU), kami kini berada dalam peringkat akhir pelaksanaan baki komitmen tarif itu.

"Pada masa sama, AS mempunyai komitmen, contohnya, di mana penyelarasan dengan siling yang dipersetujui masih belum diselesaikan," kata von der Leyen pada Selasa, semasa lawatan ke Yerevan.

Trump mengumumkan pada Jumaat bahawa beliau berhasrat untuk menaikkan tarif ke atas kereta dan trak yang diimport dari EU kepada 25 peratus, dengan mendakwa EU tidak mematuhi perjanjian perdagangan yang mengehadkan tarif AS terhadap kebanyakan produk EU kepada 15 peratus.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci mengenai pelanggaran yang didakwa itu.

EU menolak tuduhan berkenaan dan mengancam AS dengan tindakan balas sekiranya ia melaksanakan kenaikan tarif yang diumumkan terhadap barangan EU.

"Janji mesti ditepati, dan kita mempunyai perjanjian," kata von der Leyen sambil menambah bahawa "kami bersedia untuk sebarang senario".

Hubungan rentas Atlantik menjadi semakin tegang sejak Trump kembali memegang jawatan pada Januari lepas, dengan pertikaian yang semakin meningkat melibatkan isu-isu seperti Greenland, tarif, dan keengganan negara-negara Eropah untuk menyertai peperangan terhadap Iran.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video