Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: AS, Iran saling lancar serangan di Teluk uji gencatan senjata

An Iranian man walks next to an anti-Israeli mural on a street in Tehran, Iran June 6, 2026_REUTERS
Seorang lelaki Iran berjalan di sebelah mural anti-Israel di sebuah jalan di Tehran. - Foto REUTERS

DOHA: Gencatan senjata rapuh antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran terus diuji apabila kedua-dua pihak saling melancarkan serangan di rantau Teluk dalam perkembangan terbaharu konflik berlarutan itu.

Tentera AS memaklumkan mereka telah menembak jatuh empat dron serangan Iran yang dilancarkan ke arah Selat Hormuz, yang didakwa memberi ancaman segera kepada laluan perkapalan antarabangsa.

Susulan itu, Komando Pusat AS (CENTCOM) melakukan serangan balas dengan menyasarkan kemudahan radar pengawasan pantai Iran di selatan negara berkenaan sebagai langkah mempertahankan diri daripada serangan lanjut.

Tehran bagaimanapun menyifatkan tindakan AS itu sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap perjanjian gencatan senjata yang dicapai pada April lalu serta mencabuli kedaulatan negaranya.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan peluru berpandu balistik ke arah kemudahan ketenteraan AS di Kuwait dan Bahrain.

Media Iran melaporkan sasaran termasuk dua pangkalan udara di Kuwait serta kemudahan tentera laut AS di Bahrain.

Bagaimanapun, pihak tentera AS memaklumkan enam daripada tujuh peluru berpandu yang dilancarkan berjaya dipintas, manakala satu lagi tidak mencapai sasaran.

Kerajaan Bahrain dan Kuwait turut mengesahkan bahawa serangan tersebut berjaya ditangkis, sambil mengecam tindakan Iran yang dianggap mengancam keselamatan serantau.

Dalam masa sama, beberapa negara Teluk termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar turut mengutuk serangan berkenaan, menegaskan kepentingan mengekalkan kestabilan di kawasan strategik itu.

Konflik berkenaan berlaku ketika rundingan bagi memuktamadkan perjanjian damai antara kedua-dua negara dilaporkan menemui jalan buntu, dengan kedua-dua pihak saling menuduh tidak konsisten dalam tuntutan masing-masing.

Sejak tercetus konflik pada 28 Februari lalu susulan serangan besar-besaran AS dan sekutunya ke atas Iran, ketegangan di rantau itu semakin meningkat, termasuk tindakan Iran yang menutup Selat Hormuz, laluan penting yang membawa kira-kira 20 peratus bekalan minyak dan gas asli cecair dunia.

Penutupan laluan strategik itu telah menyebabkan harga minyak global meningkat dan menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan bekalan tenaga dunia.

Walaupun konflik berterusan, AS tetap meluluskan visa pasukan bola sepak Iran ke Piala Dunia 2026, satu situasi luar biasa dalam kejohanan itu.

 

 

Must Watch Video

Advertisement