Skip to main content

Dunia

Pendatang haram Israel rampas rumah, serang penduduk Palestin

PALESTIN
Pentadbiran Baitulmuqaddis berkata, pendatang Israel yang dilindungi tentera rejim menyerang penduduk komuniti Badwi Al-Arara berhampiran Jaba serta mencederakan beberapa rakyat Palestin.
Advertisement

RAMALLAH: Pendatang haram Israel mencederakan beberapa rakyat Palestin, termasuk wanita dan warga emas, dalam serangan lewat Isnin terhadap sebuah komuniti Badwi berhampiran Baitulmuqaddis Timur. 

Dalam kejadian berasingan, kumpulan pelampau Israel turut merampas sebuah rumah yang masih dalam pembinaan dan cuba mencuri ternakan di Tebing Barat yang diduduki, lapor Anadolu Ajansi.

Pentadbiran Baitulmuqaddis berkata, pendatang Israel yang dilindungi tentera rejim menyerang penduduk komuniti Badwi Al-Arara berhampiran Jaba serta mencederakan beberapa rakyat Palestin.

Tentera Israel turut menghalang pasukan ambulans daripada memasuki kawasan itu. 

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata pasukannya pada mulanya tidak dibenarkan memasuki kawasan berkenaan, namun kemudian berjaya membawa dua rakyat Palestin yang cedera ke sebuah hospital di Jaba.

Sumber tempatan berkata kumpulan pendatang haram turut membaling batu ke arah kenderaan rakyat Palestin berhampiran bulatan Jaba, menyebabkan beberapa kereta rosak. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan.

Dalam perkembangan lain, tentera Israel menahan Qusai Ghaith, anak kepada Gabenor Baitulmuqaddis Adnan Ghaith selepas menyerbu bandar Silwan, menurut sumber tempatan.

Qusai dipukul sebelum dibawa ke sebuah pusat tahanan dan disoal siasat di Baitulmuqaddis.

Di tengah Tebing Barat, pendatang haram Israel merampas sebuah rumah yang masih dalam pembinaan milik penduduk Palestin, Ezzedine Tahseen, di kampung Deir Ammar, barat Ramallah.

Kumpulan pelampau Israel turut melepaskan tembakan peluru hidup ketika menyerang kawasan pinggir kampung Asira al-Qibliya, selatan Nablus, sebelum tentera Israel menyerbu kampung berkenaan.

Tiada kecederaan atau penahanan dilaporkan dalam kejadian itu.

Pada Jumaat, pendatang haram Israel yang dilindungi tentera menyerang bandar Tell berhampiran Nablus, menyebabkan empat rakyat Palestin terbunuh.

Dua warga Israel turut terbunuh ketika konfrontasi itu, menurut sumber Palestin dan Israel.

Susulan keganasan berkenaan, tentera Israel mengenakan kepungan ke atas Nablus dan beberapa bandar di sekitarnya, melancarkan serbuan serta penahanan besar-besaran selain mengumumkan persiapan untuk menjalankan operasi ketenteraan berskala besar di seluruh Tebing Barat.

Sejak Oktober 2023, tentera dan pendatang haram Israel membunuh sekurang-kurangnya 1,182 rakyat Palestin di Tebing Barat, mencederakan ribuan yang lain serta menahan kira-kira 24,000 orang, menurut angka rasmi Palestin.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement