Skip to main content

Malaysia

Martabatkan Bahasa Melayu, perkasa Bahasa Inggeris demi Malaysia hebat - PM Anwar

PUTRAJAYA, 28 Julai -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Pendidikan di Putrajaya hari ini. Turut sama, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Perdana Menteri Anwar menghadiri Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Pendidikan (KPM), di Putrajaya, hari ini. Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar. - Gambar Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar perlu ditingkatkan sekiranya Malaysia mahu diangkat martabatnya sebagai sebuah negara yang hebat di persada global.

Menurut Perdana Menteri, meskipun Bahasa Melayu kekal sebagai bahasa ilmu yang wajib dikuasai oleh setiap pelajar tanpa kecuali, namun, kepentingan Bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi global tidak boleh diabaikan.

"Kalau Malaysia ini mahu diangkat martabatnya sebagai negara hebat, penguasaan Bahasa Inggeris itu harus ditingkatkan. Nah, ini yang dilakukan di sekolah.

"Sebab itu sejak tiga tahun yang lalu, antara tugas utama yang saya berikan kepada Menteri Pendidikan ialah pastikan penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dikuasai oleh semua anak tanpa kecuali, tanpa mengira aliran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Pendidikan (KPM), di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Anwar menarik perhatian mengenai tahap penguasaan Bahasa Melayu di beberapa aliran sekolah yang sebelum ini dianggap terlepas daripada pengawasan ketat, termasuk sekolah aliran agama, sekolah jenis kebangsaan serta sekolah antarabangsa.

Beliau berkata, kerajaan kini bersikap tegas bagi memastikan sekolah antarabangsa yang disertai ramai anak tempatan tidak mengetepikan penekanan terhadap Bahasa Melayu dan subjek Sejarah Malaysia.

"Dahulu kita sibuk tentang sekolah aliran Cina dan Tamil, tetapi ada yang lupa sekolah agama dan Arab juga kadangkala penguasaan Bahasa Melayu mereka lemah.

"Malah, sekolah antarabangsa yang kini disertai ramai anak Malaysia, kadangkala tidak beri penekanan tentang Bahasa Malaysia dan Sejarah Malaysia. Maka, hal ini kita telah saksikan perubahan dan ketegasan kita," tegas beliau.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyarankan agar sistem pendidikan negara lebih inklusif dan terbuka dengan memberikan ruang kepada murid menguasai bahasa ketiga seperti Bahasa Cina, Tamil, Arab mahupun Perancis.

Langkah itu, jelas beliau, selari dengan keperluan ekonomi semasa dunia yang memperlihatkan kepentingan bahasa-bahasa tersebut dalam urusan perdagangan dan pengurusan perniagaan antarabangsa, khususnya dengan kuasa ekonomi seperti China dan Rusia.

"Sikap kita harus lebih terbuka dan inklusif. Saya tahu ini akan jadi polemik politik yang tidak berkesudahan, tetapi saya menyeru rakan-rakan di kementerian dan guru-guru untuk faham.

"Tidak ada maksud sama sekali untuk kita meremehkan bahasa (Melayu). Seluruh hidup saya daripada Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) sampai sekarang adalah untuk Bahasa Melayu, namun saya juga tahu saya tidak mungkin boleh mengajar di Washington DC sekiranya tidak menguasai Bahasa Inggeris," katanya.

Anwar berkata, bahasa Cina kini bukan lagi sekadar bahasa mengikut kaum, tetapi telah beralih menjadi bahasa ekonomi yang penting di peringkat antarabangsa berbanding 50 tahun dahulu.

Must Watch Video

Advertisement