Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: KDNK Malaysia dijangka tumbuh perlahan ke empat peratus - Penganalisis

Bandar Kuala Lumpur_BERNAMA
Pandangan udara ibu kota Kuala Lumpur. - Gambar hiasan/Bernama

KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dijangka tumbuh perlahan untuk tahun 2026 pada kadar 4 peratus susulan konflik berterusan di Asia Barat.

Provost Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, jangkaan itu dikuatkan lagi dengan kedudukan ekonomi global yang menuju ke pusingan kemelesetan pada tahun 2029.

Advertisement

“Kenaikan harga minyak satu tong akan meningkatkan kos subsidi RON95 sehingga RM400 juta. Apabila subsidi melonjak, kerajaan terpaksa kurangkan perbelanjaan pembangunan, menangguhkan projek dan menambahkan hutang.  

“Ini akan tingkatkan jurang defisit, misalnya. Kemudian kita lihat kesan negatif terhadap permintaan global. Eksport Malaysia akan terjejas kerana pengimport mengecutkan aktiviti mereka dan mengurangkan permintaan eksport.  

“Jadi, kita jangkakan tahun 2026 ini mungkin terpaksa menerima kadar pertumbuhan KDNK kurang daripada empat peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.

Dalam pada itu, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Jaringan Industri) Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Jasin, Prof. Madya Ts. Dr. Fazleen Abdul Fatah pula tidak menolak kemungkinan harga bahan makanan akan naik seiring peningkatan harga bahan api dalam suasana ekonomi semasa.

“Dalam sistem agromakanan hari ini kos pengeluaran makanan bergerak seiring dengan tenaga. Maka apabila harga minyak naik, harga makanan cenderung untuk naik.  

“Kita lihat dalam jangka masa pendek, dengan adanya peningkatan harga minyak, ia boleh tingkatkan kos pengangkutan hasil pertanian, kos jentera yang berasaskan diesel dan kos import bahan makanan,” ujarnya.

Serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran sejak 28 Februari lalu telah menyebabkan Iran mengambil tindakan menutup laluan perkapalan di Selat Hormuz.

Selat Hormuz merupakan laluan air yang penting secara strategik yang terletak di pintu masuk Teluk Parsi. Koridor pengangkutan itu menghubungkan pengeluaran minyak dan gas asli cecair (LNG) Asia Barat ke pasaran global melalui Laut Arab dan Lautan Hindi.

Laluan itu mengendalikan penghantaran kira-kira 20 juta tong minyak dan produk petroleum sehari, selain menyumbang sekitar satu pertiga daripada keseluruhan minyak mentah yang diangkut melalui laut.

Situasi ini telah menyebkan harga minyak mentah global naik melepasi USD100 setong. Setakat Khamis, minyak mentah Brent didagangkan pada USD114 setong, berbanding kira-kira USD72 setong pada 27 Februari. 

Dialog Tiga Penjuru: Mengapa dunia harus menekan AS hentikan segera perang?Dialog Tiga Penjuru: Mengapa dunia harus menekan AS hentikan segera perang?

Dialog Tiga Penjuru: Mengapa dunia harus menekan AS hentikan segera perang?

Must Watch Video