SINGAPURA: Harga minyak mentah dunia melonjak lebih empat peratus pagi ini selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyifatkan maklum balas Tehran terhadap cadangan damai Washington sebagai “tidak boleh diterima”.
Kenyataan keras itu mencetuskan kebimbangan baharu mengenai gangguan bekalan yang berpanjangan di Asia Barat, khususnya di Selat Hormuz yang masih ditutup sebahagian besarnya, lapor Al Jazeera.
Niaga hadapan minyak mentah Brent melonjak AS$4.16 atau 4.11 peratus kepada AS$105.45 setong (kira-kira RM414), manakala West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat meningkat AS$4.38 atau 4.59 peratus kepada AS$99.80 setong (kira-kira RM392).
Lonjakan itu memadamkan kejatuhan hampir enam peratus minggu lalu, yang didorong oleh harapan awal terhadap penamatan konflik berkenaan yang telah berlarutan selama 10 minggu.
Ketua Pegawai Eksekutif Saudi Aramco, Amin Nasser, pada Ahad mendedahkan bahawa pasaran tenaga global telah kehilangan kira-kira satu bilion tong minyak sepanjang dua bulan lalu akibat peperangan tersebut.
Beliau memberi amaran bahawa pasaran akan memerlukan tempoh yang panjang untuk kembali stabil, walaupun jika aliran bekalan melalui Selat Hormuz disambung semula dalam masa terdekat.
“Membuka semula laluan tidak bermakna pasaran akan kembali normal serta-merta selepas kehilangan bekalan yang begitu besar,” kata Nasser dalam kenyataan yang dipetik daripada laporan Reuters.
Sementara itu, penganalisis pasaran di Phillip Nova, Priyanka Sachdeva, berkata pasaran minyak kini didorong kuat oleh sentimen geopolitik dan sangat sensitif terhadap sebarang kenyataan daripada Washington mahupun Tehran.
Perhatian pelabur kini beralih kepada lawatan Trump ke China pada Rabu, yang dijangka membincangkan konflik itu bersama Presiden Xi Jinping dalam usaha mencari jalan penyelesaian diplomatik.