Skip to main content

Malaysia

Pemilik premis dinasihat waspada individu menyamar pegawai JAS

ALOR SETAR, 11 Mei (Bernama) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah menasihati orang ramai, terutamanya pemilik premis dan pemain industri supaya berwaspada susulan laporan mengenai cubaan penipuan oleh individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai pegawai jabatan itu.
Sharifah Zakiah berkata, jika menerima panggilan meragukan, pihak industri disarankan agar segera menghubungi pejabat JAS Kedah atau cawangan berhampiran bagi menyemak status premis dan rekod penguatkuasaan yang sahih. - Gambar Bernama

ALOR SETAR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah menasihati orang ramai, terutamanya pemilik premis dan pemain industri supaya berwaspada susulan laporan mengenai cubaan penipuan oleh individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai pegawai jabatan itu.

Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata pihaknya menerima makluman pada Jumaat lepas mengenai tindakan seorang lelaki yang menghubungi mangsa melalui panggilan telefon dan mendakwa mangsa melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Suspek memaklumkan mangsa akan dikenakan kompaun atas kesalahan berkenaan. Suspek telah menawarkan mangsa penyelesaian di luar saluran rasmi atau settle tepi dengan janji akan mengurangkan nilai denda jika bayaran dibuat terus kepadanya.

“Namun, tindakan bijak mangsa yang mendapatkan kepastian mengenai kesahihan identiti pegawai JAS itu berjaya menyelamatkannya daripada terperdaya dan tiada sebarang kerugian kewangan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata setiap prosedur penguatkuasaan JAS adalah tertakluk kepada protokol perundangan dan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

“Pihak JAS sama sekali tidak pernah menjalankan urusan pembayaran kompaun atau denda melalui akaun peribadi atau secara tunai kepada individu di luar pejabat. Sebarang notis, kompaun atau tindakan perundangan akan dikeluarkan secara rasmi melalui dokumen bertulis dan pembayaran mestilah dilakukan mengikut saluran kerajaan yang sah. 

“Bagi membendung risiko penipuan, JAS Kedah menasihati pihak industri agar sentiasa mengesahkan identiti mana-mana individu yang mengaku sebagai pegawai JAS dengan meminta kad kuasa atau dokumen pengenalan diri rasmi,” katanya.

Sharifah Zakiah berkata lagi jika menerima panggilan meragukan, pihak industri disarankan agar segera menghubungi pejabat JAS Kedah atau cawangan berhampiran bagi menyemak status premis dan rekod penguatkuasaan yang sahih.

“Selain itu, sebarang cubaan pemerasan atau penipuan hendaklah dilaporkan dengan kadar segera kepada polis untuk tindakan penguatkuasaan lanjut. Satu laporan polis juga telah dibuat oleh JAS Kedah berhubung isu ini.

“Pemain industri juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan alam sekitar bagi mengelakkan ruang ini dieksploitasi oleh pihak ketiga. JAS Kedah komited dalam memastikan kedaulatan undang-undang alam sekitar terjaga tanpa kompromi terhadap integriti jabatan,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video