KUALA LUMPUR: Kelompok penyokong Datuk Seri Rafizi Ramli didakwa ‘memperkudakan’ Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) selepas tular kenyataan yang mendakwa majoriti pimpinan organisasi itu telah hilang kepercayaan terhadap PKR di bawah teraju Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Exco AMK Malaysia (Ketua Biro Media Baharu), Dzul Hilmi Zainol berkata, melihat kepada corak dan naratif yang dimainkan, sukar untuk menolak kemungkinan bahawa tindakan itu mempunyai kaitan rapat dengan kelompok penyokong Rafizi yang semakin hari semakin tajam mengkritik kedudukan Presiden PKR.
“Ini kerana gerakan ini nampak terancang dan sedang membina persepsi kononnya wujud gelombang penolakan akar umbi terhadap Presiden dan kepimpinan parti.
“Sedangkan kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Setiausaha MKM menafikan dan menyelar kenyataan yang dikeluarkan tanpa nama serta tidak diputuskan melalui saluran organisasi yang sah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada Ahad, Setiausaha Agung MKM, Aqeef Salih menafikan telah mengeluarkan kenyataan yang mendakwa hilang keyakinan terhadap parti di bawah pimpinan Anwar, sekali gus menegaskan perkara itu tidak pernah dibincangkan atau dipersetujui melalui saluran rasmi.
Aqeef berkata, kenyataan tersebut didakwa hanya dikeluarkan oleh beberapa individu dalam pimpinan pusat tanpa mandat organisasi sebenar.
Mengulas lanjut, Dzul Hilmi berkata, tindakan memperalatkan platform mahasiswa demi agenda politik kelompok tertentu amat mengecewakan.
Katanya, mahasiswa tidak sepatutnya dijadikan alat kepada politik dendam, kempen simpati atau menjadi percaturan mana-mana tokoh yang mahu terus bermain sentimen.
“Jika benar mereka ikhlas memperjuangkan reformasi, maka budaya tidak menghormati organisasi serta memainkan naratif serangan melalui propaganda media bukanlah jalannya.
“Ini hanya mengesahkan bahawa ada kelompok yang lebih sibuk menjaga kepentingan kem sendiri berbanding memperkukuh perjuangan rakyat dan kestabilan kerajaan,” katanya.