CEBU: Konflik berlarutan di Asia Barat dijangka mendominasi perbincangan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan, berikutan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap gangguan bekalan tenaga dan makanan yang meletakkan kepentingan strategik laluan laut serantau sebagai tumpuan utama.
Gangguan di Selat Hormuz, yang merupakan arteri kritikal bagi aliran minyak global dan gas asli cecair (LNG), telah meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan bekalan, terutamanya bagi Asia yang amat bergantung kepada import dari rantau itu.
Advertisement
Ketegangan semakin meruncing susulan siri berbalas serangan ketenteraan melibatkan Amerika Syarikat, Israel, dan Iran sejak 28 Feb lepas. Konflik di laluan air itu telah menjejaskan aliran minyak secara serius, sekali gus mencetuskan kejutan tenaga global meskipun gencatan senjata yang diperantara Pakistan dicapai pada 8 April.
Amerika Syarikat turut menguatkuasakan sekatan maritim terhadap kapal-kapal yang keluar dan masuk dari pelabuhan Iran sejak 13 April, yang memburukkan lagi ketidaktentuan pasaran tenaga global serta melonjakkan harga tenaga, sekali gus meningkatkan kos pengangkutan dan pengeluaran di seluruh rantau ini.
Pakar Geostrategi, Prof Dr Azmi Hassan berkata krisis yang sedang berlaku itu berkemungkinan besar akan menjadi topik utama pada sidang kemuncak berkenaan memandangkan ekonomi ASEAN sangat terdedah kepada kejutan luaran dan tekanan rantaian bekalan.
Beliau berkata situasi itu menekankan kepentingan strategik laluan air utama serantau seperti Selat Melaka dan Laut China Selatan, yang berfungsi sebagai nadi penting menghubungkan perdagangan global dan aliran tenaga antara Timur dan Barat.
Walaupun konflik itu secara geografi terletak jauh dari ASEAN, beliau menegaskan kesan ekonominya adalah serta-merta dan signifikan, terutamanya melalui gangguan rantaian bekalan tenaga yang menjejaskan ekonomi negara membangun di rantau ini.
"Kesan terhadap ASEAN dan ekonomi global dijangka menjadi agenda utama sidang kemuncak itu, dengan tumpuan untuk memastikan laluan air utama seperti Laut China Selatan dan Selat Melaka kekal terbuka dan tidak dijadikan alat geopolitik, sebagaimana yang berlaku di Selat Hormuz," katanya kepada Bernama.
Azmi berkata krisis itu telah menarik perhatian kepada rantaian titik sempit maritim yang kritikal, bermula dari Selat Hormuz merentasi Lautan Hindi ke Selat Melaka dan Laut China Selatan, yang menjadi asas kepada aliran tenaga dunia.
"Selat Melaka dan Laut China Selatan berfungsi sebagai laluan air penting yang menghubungkan Timur dan Barat," katanya sambil memberi amaran bahawa sebarang gangguan boleh memberi kesan buruk kepada perdagangan antarabangsa dan rantaian bekalan.
Beliau berkata, mengekalkan laluan perkapalan yang terbuka, selamat, dan tanpa halangan kekal kritikal bagi kelangsungan aliran perdagangan dan tenaga global.
Sementara itu, penganalisis Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Dr Yanitha Meena Louis berkata sidang kemuncak itu akan menjadi platform penting bagi ASEAN untuk menunjukkan keupayaan bertindak secara kolektif terhadap kejutan luaran, terutamanya kenaikan kos dan ketidaktentuan bekalan yang memberi kesan kepada ekonomi serantau.
Tambahnya, walaupun impak situasi di Asia Barat mendominasi perhatian, adalah sama penting bagi negara anggota ASEAN untuk mengekalkan kepusatan peranan mereka dalam menangani cabaran ini.
"Walaupun adalah lebih mudah bagi negara anggota ASEAN untuk mengutamakan tindak balas nasional dan meletakkan pendekatan serantau sebagai pilihan kedua, keputusan untuk meneruskan sidang kemuncak ini di sebalik cabaran logistik menunjukkan komitmen jelas terhadap tindakan kolektif, yang penting bagi kelangsungan kerelevanan ASEAN," katanya kepada Bernama.
Azmi menjelaskan, kesinambungan daripada kepengerusian Malaysia tahun lepas kekal penting, terutamanya dalam memperkukuh dan mengukuhkan Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN sebagai platform untuk menangani cabaran ekonomi yang muncul.
Meskipun konflik Asia Barat menjadi tumpuan, Yanitha berkata ASEAN mesti mengekalkan momentum terhadap keutamaan serantau yang lain seperti Kod Tatalaku (CoC) Laut China Selatan dan krisis Myanmar, malah cabaran global terus mendominasi agenda.
Beliau berkata sementara isu berkenaan nampaknya tidak lagi menjadi tumpuan di tengah-tengah tekanan yang mendadak, mengekalkan kemajuan dalam isu yang spesifik dan boleh dicapai kekal penting.
"Bukan mudah untuk mengekalkan fokus terhadap isu-isu ini yang telah ditolak ke belakang oleh cabaran yang lebih mendesak.
Bagaimanapun, apa yang boleh membantu adalah dengan meneruskan momentum terhadap objektif khusus seperti memajukan kerjasama menangani penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal (IUU) di Laut China Selatan serta menangani jenayah rentas sempadan yang timbul daripada situasi di Myanmar," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari rantau ini dijadual berkumpul pada sidang kemuncak bertema "Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama" dari 7 hingga 8 Mei ini.
-- BERNAMA