Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Macron gesa Israel undur dari Lubnan, Hezbollah letak senjata

France's President Emmanuel Macron, right, and Lebanon's Prime Minister Nawaf Salam shake hands after a joint declaration press event following their meeting at the Elysee Presidential Palace in Paris, Tuesday, April 21, 2026. (Ludovic Marin/Pool Photo via AP)
Macron (kanan) dan Salam berjabat tangan selepas kenyataan bersama kepada media susulan pertemuan mereka di Istana Presiden Elysee, Paris. - Foto AP

PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menggesa Israel menarik balik tenteranya dari Lubnan serta menyeru Hezbollah menghentikan serangan terhadap Israel dan meletakkan senjata sebagai sebahagian usaha mencapai kestabilan jangka panjang di rantau itu.

Macron menyuarakan pendirian tersebut menerusi hantaran di media sosial, sambil menyatakan sokongan Perancis terhadap Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam, serta rakyat Lubnan yang berdepan krisis kemanusiaan.

Advertisement

Kenyataan itu dibuat selepas Salam mengadakan lawatan rasmi ke Istana Elysee di Paris.

“Perancis menyokong Lubnan dalam usahanya menangani krisis kemanusiaan dan memenuhi keperluan penduduk yang dipindahkan,” kata Macron dalam kenyataan yang dikongsi dalam bahasa Perancis dan Arab.

Beliau berkata kestabilan berkekalan di Lubnan dan Asia Barat hanya dapat dicapai melalui penyelesaian politik antara Israel dan Lubnan, yang menjamin keselamatan kedua-dua negara, menghormati kedaulatan wilayah Lubnan dan membuka jalan ke arah hubungan yang lebih normal.

Menurut Macron, penyelesaian tersebut menuntut Hezbollah menghentikan serangan ke atas Israel dan tidak lagi menganggap dirinya sebagai pengganti negara dalam menjalankan kuasa.

Pada masa sama, beliau menegaskan keperluan pengunduran tentera Israel dari wilayah Lubnan, pelucutan senjata Hezbollah oleh Lubnan dengan sokongan komuniti antarabangsa, serta usaha pembinaan semula bagi membolehkan penduduk yang dipindahkan pulang ke rumah masing-masing.

Ketika ini, gencatan senjata sementara selama 10 hari sedang berkuat kuasa antara Israel dan Lubnan.

Bagaimanapun, kehadiran berterusan tentera Israel di selatan Lubnan, termasuk laluan yang dilaporkan dikawal seperti zon ketenteraan, menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan dan kelangsungan gencatan senjata tersebut.

Kenyataan Macron hadir ketika usaha diplomatik antarabangsa dipergiat bagi mengelakkan konflik di sempadan Israel–Lubnan daripada tercetus semula dan bertukar menjadi perang lebih meluas di rantau itu.
 

Must Watch Video