WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran bahawa tentera negara itu akan melancarkan serangan “jauh lebih hebat” terhadap Iran dalam tempoh beberapa hari akan datang, ketika konflik di Asia Barat memasuki minggu ketiga.
Dalam wawancara bersama Fox News Radio yang disiarkan pada Jumaat (13 Mac), Trump mendakwa, operasi ketenteraan bersama Israel sejak 28 Februari lalu sudah memberikan tekanan besar ke atas kepimpinan Iran.
Advertisement
Serangan awal itu turut mengorbankan pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei, sekali gus mencetuskan perang yang lebih meluas dan menjejaskan kestabilan pasaran tenaga global.
“Kami akan menggempur mereka dengan sangat kuat sepanjang minggu ini,” katanya, sambil menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan Iran akhirnya boleh tumbang melalui tekanan rakyat negara itu sendiri.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth pula mendedahkan, lebih 15,000 sasaran Iran telah dihentam sejak kempen udara dilancarkan.
“Gabungan serangan udara AS dan Israel sudah mengenai lebih 15,000 sasaran - lebih 1,000 serangan setiap hari,” katanya kepada media, sambil menambah bahawa jumlah serangan pada Jumaat adalah yang tertinggi setakat ini.
Menurut Hegseth, kemampuan Iran untuk membalas serangan kini “merosot dengan ketara”, dengan pelancaran peluru berpandu dan dron negara itu didakwa sudah berkurangan sehingga 90 hingga 95 peratus.
Beliau turut mendakwa pemimpin tertinggi baharu Iran, Mojtaba Khamenei, cedera parah dan “kemungkinan mengalami kecacatan” selepas serangan 28 Februari yang mengorbankan bapanya.
Pegawai Iran mengesahkan kecederaan itu tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Konflik tersebut turut menggugat pasaran minyak dunia selepas Iran melalui Pasukan Pengawal Revolusi (IRGC) bertindak menutup Selat Hormuz — laluan penting yang menampung hampir 20 peratus bekalan minyak global.
Harga minyak melonjak melepasi AS$100 setong, manakala pasaran saham antarabangsa menjadi tidak menentu apabila kebimbangan gangguan jangka panjang semakin meningkat.
Namun Hegseth menolak kebimbangan bahawa krisis di selat itu akan berpanjangan, sambil menyifatkan tindakan Iran sebagai “tanda keputusasaan.”
Dalam masa sama, pegawai Iran menegaskan mereka akan terus menekan laluan perkapalan di kawasan strategik itu selagi serangan ke atas negara mereka diteruskan. - Agensi