Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Menteri Luar Iran tiba di Pakistan, cetus harapan rundingan damai dengan AS

Iranian Foreign Minister Abbas Araghchi looks on during a meeting with Director General of the International Atomic Energy Agency (IAEA) Rafael Grossi, and Egyptian Foreign Minister Badr Abdelatty, at Tahrir Palace in Cairo, on Sep 9, 2025. (File photo: AP/Khaled Elfiqi)
Abbas Araqchi, tiba di ibu negara Pakistan, Islamabad, pada Jumaat bagi membincangkan cadangan untuk menyambung semula rundingan damai dengan Amerika Syarikat. - Gambar fail AP

ISLAMABAD: Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, tiba di ibu negara Pakistan, Islamabad, pada Jumaat bagi membincangkan cadangan untuk menyambung semula rundingan damai dengan Amerika Syarikat (AS), di tengah-tengah isyarat bercanggah sama ada beliau akan bertemu perunding AS di sana.

Sumber Pakistan berkata, Araqchi tidak dijadualkan bertemu perunding Amerika Syarikat di Islamabad, manakala jurucakap White House, Karoline Leavitt memaklumkan, Utusan Khas Presiden Donald Trump iaitu Steve Witkoff dan Jared Kushner akan bertolak ke Pakistan pada pagi Sabtu untuk mengadakan perbincangan dengan pegawai Iran itu.

Advertisement

Menteri Luar Pakistan mengesahkan ketibaan delegasi Iran sambil berkata, Araqchi akan bertemu pegawai kanan Pakistan bagi membincangkan usaha damai berkenaan.

Sementara itu, Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, membincangkan perkembangan perjanjian gencatan senjata antara Washington dan Tehran dalam perbualan telefon dengan Presiden AS, Donald Trump pada lewat Jumaat.

Pemimpin Qatar itu berkata, negaranya akan terus menyelaraskan usaha bersama rakan-rakan bagi menyokong inisiatif pengantaraan yang diketuai Pakistan. 

Islamabad sebelum ini dirancang sebagai lokasi rundingan AS-Iran yang gagal dilaksanakan pada awal minggu ini.

Leavitt dalam nada optimis berkata, Amerika Syarikat melihat beberapa perkembangan positif daripada pihak Iran sejak beberapa hari lalu dan berharap kemajuan lanjut dapat dicapai hujung minggu ini.

Beliau turut memaklumkan, Naib Presiden AS, JD Vance yang mengetuai pusingan pertama rundingan dengan Iran awal bulan ini namun tidak berjaya, bersedia untuk ke Pakistan bagi menyertai rundingan sekiranya usaha itu menunjukkan hasil.

Araqchi menerusi hantaran di platform X berkata, kunjungannya ke Pakistan, Oman dan Russia bertujuan menyelaras hal ehwal dua hala serta mengadakan perundingan mengenai perkembangan serantau, sambil menegaskan negara jiran kekal sebagai keutamaan Tehran.

Lawatan itu juga merangkumi perbincangan berkaitan usaha terkini menamatkan perang, menurut jurucakap Kementerian Luar Iran kepada media kerajaan.

Dua sumber kerajaan Pakistan yang mengetahui perbincangan tersebut berkata, lawatan Araqchi dijangka singkat dan memberi tumpuan kepada cadangan Iran untuk rundingan dengan Amerika Syarikat, yang kemudiannya akan disampaikan Pakistan kepada Washington selaku orang tengah.

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth berkata dalam satu sidang taklimat pada Jumaat bahawa Iran masih mempunyai peluang untuk mencapai “perjanjian yang baik” dengan Amerika Syarikat.

“Iran sedar masih terdapat ruang untuk membuat pilihan bijak di meja rundingan. Apa yang perlu mereka lakukan hanyalah meninggalkan senjata nuklear secara bermakna dan boleh disahkan,” katanya.

Laporan media kerajaan Iran mengenai lawatan Araqchi dan sumber Pakistan tidak menyebut mengenai Mohammad Baqer Qalibaf, Speaker Parlimen Iran, yang sebelum ini mengetuai delegasi negara itu dalam rundingan awal bulan ini.

Pejabat media Parlimen Iran menafikan laporan bahawa Qalibaf telah meletak jawatan sebagai ketua pasukan perunding, selain memaklumkan tiada pusingan rundingan baharu dijadualkan setakat ini.

Sumber Pakistan turut berkata, pasukan logistik dan keselamatan Amerika Syarikat telahpun berada di Islamabad sebagai persediaan sekiranya rundingan diadakan.

Pusingan rundingan damai terakhir dijangka bersambung pada Selasa lalu tetapi tidak berlaku, selepas Iran menyatakan belum bersedia memberi komitmen, manakala delegasi AS yang diketuai Vance tidak berlepas dari Washington.

Trump pada saat akhir melanjutkan gencatan senjata selama dua minggu pada Selasa bagi memberi lebih masa untuk menyambung semula rundingan.

Harga minyak kekal tidak menentu pada Jumaat ketika pedagang menilai potensi gangguan bekalan susulan kejutan minyak terburuk dalam sejarah, walaupun masih terdapat harapan terhadap rundingan lanjut.

Niaga hadapan minyak mentah Brent hampir tidak berubah pada AS$105.11 setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate AS susut 1.7 peratus kepada AS$94.23 setong. - Agensi

Must Watch Video