TEHRAN: Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf menegaskan bahawa angkatan bersenjata negara itu berada dalam keadaan siap siaga untuk memberikan tindak balas terhadap “sebarang bentuk pencerobohan”, susulan kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang menyifatkan gencatan senjata dengan Iran kini berada "di ambang kehancuran."
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform media sosial X pada Isnin (11 Mei), Ghalibaf berkata, Iran bersedia menghadapi semua kemungkinan dan memberi amaran bahawa sebarang serangan akan menerima tindak balas yang setimpal.
“Angkatan bersenjata kami bersedia untuk bertindak balas dan memberikan pengajaran terhadap sebarang pencerobohan,” katanya, sambil menambah bahawa strategi dan keputusan yang salah akan membawa kepada akibat yang buruk.
Kenyataan itu dibuat ketika ketegangan kembali meningkat selepas Trump menolak cadangan balas Iran terhadap pelan damai yang dikemukakan Washington dan menyifatkan gencatan senjata antara kedua-dua negara sebagai berada “di ambang kehancuran.”
Ghalibaf turut memberi amaran bahawa kelewatan dalam mencapai perjanjian hanya akan meningkatkan kos kepada pihak Amerika Syarikat sambil menegaskan tiada alternatif selain menghormati hak rakyat Iran seperti yang digariskan dalam cadangan Tehran.
Perkembangan terbaharu ini mencetuskan kebimbangan antarabangsa terhadap kestabilan gencatan senjata, ketika rundingan diplomatik dilihat semakin sukar dan risiko peningkatan konflik sekali lagi menghantui rantau tersebut. - Agensi