Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat tekan inflasi, jejaskan ekonomi global -IMF

Reuters
Menurut Georgieva, sekatan berkesan oleh Iran terhadap Selat Hormuz yang merupakan laluan penting bagi kira-kira satu perlima perdagangan minyak dan gas dunia telah menyebabkan pengurangan ketara dalam bekalan global. - Gambar fail Reuters

WASHINGTON: Konflik yang berterusan di Asia Barat dijangka memberi kesan besar kepada ekonomi dunia, termasuk peningkatan inflasi serta pertumbuhan global yang lebih perlahan.

Pengarah Urusan International Monetary Fund (IMF), Kristalina Georgieva berkata, gangguan bekalan tenaga akibat konflik tersebut merupakan antara yang terburuk dalam sejarah.

Advertisement

Menurut beliau, sekatan berkesan oleh Iran terhadap Selat Hormuz yang merupakan laluan penting bagi kira-kira satu perlima perdagangan minyak dan gas dunia telah menyebabkan pengurangan ketara dalam bekalan global.

“Semua petunjuk kini membawa kepada harga yang lebih tinggi dan pertumbuhan yang lebih perlahan,” katanya.

IMF memaklumkan, bekalan minyak global telah menyusut sebanyak 13 peratus, sekali gus menjejaskan rantaian bekalan lain termasuk gas dan bahan berkaitan seperti helium serta baja.

Walaupun konflik berakhir dalam tempoh singkat, IMF menjangkakan semakan menurun terhadap unjuran pertumbuhan ekonomi global serta peningkatan inflasi tetap tidak dapat dielakkan.

Malah, kesan tersebut dijangka lebih buruk sekiranya konflik berlarutan.

IMF sebelum ini mengunjurkan pertumbuhan global sebanyak 3.3 peratus pada 2026 dan 3.2 peratus pada 2027, namun jangkaan itu kini berpotensi disemak semula.

Institusi kewangan antarabangsa itu dijangka mengeluarkan laporan terbaharu World Economic Outlook pada 14 April ini, yang akan merangkumi beberapa senario berdasarkan perkembangan konflik semasa.

Dalam pada itu, konflik berkenaan dijangka menjadi tumpuan utama dalam Mesyuarat Musim Bunga IMF-Bank Dunia di sini minggu hadapan, yang menghimpunkan pegawai kewangan dari seluruh dunia.

Georgieva turut memberi amaran bahawa negara miskin dan rentan tanpa rizab tenaga akan menerima kesan paling besar, khususnya dalam menghadapi kenaikan harga yang mendadak

Must Watch Video