INTERNATIONAL
Konflik Pattani: Kegagalan lantik ketua delegasi isyarat Thailand tidak komited

Menurut Atef, ketiadaan lantikan ketua delegasi jelas menunjukkan betapa lemahnya komitmen kerajaan Thailand dalam usaha mencapai penyelesaian yang berkekalan. - AP
BANGKOK dilihat masih tidak komited menjayakan dialog damai antara kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) kerana masih tidak melantik ketua delegasi rasmi bagi meneruskan proses berkenaan.
Presiden The Patani, Artef Sohko berkata, kerajaan Thailand sering meminta BRN untuk menghentikan serangan bersenjata sepanjang bulan Ramadan dengan mewujudkan tempoh ‘Ramadan Damai’ sebagai langkah membina kepercayaan antara kedua-dua pihak.
“Namun, pada tahun ini, usaha tersebut menjadi lebih sukar kerana kerajaan Thailand masih belum melantik wakil rasmi untuk berunding dengan BRN. Keadaan ini menutup ruang perbincangan dan menghalang pencarian resolusi walaupun dalam bulan suci Ramadan.
“BRN dikatakan telah mengemukakan cadangan khusus bagi tempoh Ramadan tahun ini tetapi cadangan tersebut ditolak oleh kerajaan pusat Thailand, lalu menyebabkan kemarahan di pihak BRN dan dipercayai menjadi punca serangan yang berlaku dua minggu lalu,” katanya ketika ditanya Astro AWANI hari ini.Menurut Presiden The Patani itu, ketiadaan lantikan ketua delegasi jelas menunjukkan betapa lemahnya komitmen kerajaan Thailand dalam usaha mencapai penyelesaian yang berkekalan.
“Sebenarnya, kerajaan Thailand tidak menunjukkan kesungguhan untuk meyelesaikan konflik di Patani menerusi proses damai. Mereka masih percaya kekuatan tentera boleh kalahkan pihak pemisah Patani,” ujarnya lagi.
Pada 14 Mac lalu, sembilan anggota polis cedera dalam dua insiden letupan bom di daerah Maelan, Wilayah Pattani, Selatan Thailand awal pagi.
Ketua Polis Daerah Maelan Kol. Pol. Panya Utapao berkata kejadian pertama sekitar 8.50 pagi waktu tempatan berlaku ketika pasukan polis sedang melakukan kawalan keselamatan di Kampung Pelakprue, Mukim Muang Tia, Wilayah Pattani.
Pada 8 Mac lalu, beberapa insiden letupan bom dan tembakan di wilayah Narathiwat dan Pattani telah mengorbankan lima nyawa serta mencederakan 13 individu lain.
Dialog damai antara kerajaan Thai dan kumpulan pemisah bermula 2013 tetapi hanya mencapai kemajuan yang perlahan dan kecil.
Dialog semasa bermula pada 2020 melibatkan rundingan langsung yang dibantu Malaysia sebagai fasilitator, melibatkan wakil Thai dan BRN, kumpulan pemisah paling berpengaruh di wilayah itu.
Bagaimanapun dialog berkenaan terhenti sejak 2023 susulan pilihan raya Thailand.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami