DUNIA
Konflik Thailand-Kemboja: Dari peta kolonial ke jet pejuang, bagaimana pertikaian lebih seabad cetus konflik bersenjata

Kepulan asap dilihat dari sebuah kedai serbaneka di stesen minyak, di tengah-tengah pertempuran di antara Thailand dan Kemboja, di daerah Kantharalak, wilayah Sisaket, Thailand, pada 24 Julai 2025. -Reuters
BANGKOK/PHNOM PENH: Ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja semakin meruncing susulan beberapa insiden tembak-menembak dan serangan udara sejak awal Julai, menjadikan pertikaian yang berlarutan selama lebih seabad kembali mencetuskan konflik bersenjata.
Ringkasan AI
- Ketegangan sempadan Thailand-Kemboja kembali memuncak sejak awal Julai dengan insiden tembak-menembak dan serangan udara, berpunca daripada pertikaian bersejarah mengenai status kuil purba seperti Preah Vihear dan Ta Moan Thom yang berlarutan sejak 1907.
- Konflik pada 24 Julai menyaksikan pertempuran intensif di sekurang-kurangnya enam lokasi, melibatkan dron, roket BM-21, jet pejuang F-16, dan senjata berat, menyebabkan korban tentera dan awam serta kerosakan infrastruktur termasuk hospital dan kawasan kediaman.
- Thailand menutup semua pintu sempadan dan Perdana Menteri negara itu mengutuk serangan Kemboja, manakala Kemboja mendakwa bertindak balas atas pencerobohan dan menyeru campur tangan Majlis Keselamatan PBB untuk menghentikan konflik.
Pada Khamis 24 Julai 2025, kedua-dua negara saling menuduh pihak lawan memulakan serangan. Insiden tembak-menembak, serangan roket, dan penggunaan jet pejuang F-16 dilaporkan di sekurang-kurangnya enam lokasi.
Korban dalam kalangan anggota tentera dan orang awam kini melebihi 10 orang dalam serangan, termasuk di sebuah stesen minyak dan kedai serbaneka.
Berikut kronologi sejarah sengketa sempadan Thailand-Kemboja sejak 1907, dan insiden penting yang berlaku pada 24 Julai 2025:
Kronologi Sejarah Sengketa Sempadan Thailand-Kemboja
- 1907: Peta sempadan dilakar oleh penjajah Perancis, meletakkan Kuil Preah Vihear dalam wilayah Kemboja. Thailand kemudian mempertikaikan ketepatan peta tersebut.
- 1962: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa Preah Vihear milik Kemboja, namun tidak menjelaskan status tanah sekelilingnya.
- 2008: Kemboja berjaya mendaftarkan Preah Vihear sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, mencetuskan bantahan dan pertempuran bersenjata dengan Thailand.
- 2011: Konflik memuncak dengan pertukaran tembakan artileri selama seminggu, menyebabkan lebih 36,000 orang dipindahkan.
- 2013: ICJ mengesahkan semula keputusan 1962 dan mengarahkan pengunduran tentera dari zon pertikaian.
- 28 Mei 2025: Ketegangan tercetus semula apabila seorang anggota tentera Kemboja terbunuh dalam pertempuran singkat di antara pasukan Thailand dan Kemboja di kawasan sempadan yang dipertikaikan di Segi Tiga Zamrud, iaitu titik pertemuan Thailand, Kemboja dan Laos. Kedua-dua pihak mendakwa bertindak atas alasan mempertahankan diri dan saling menyalahkan atas pertempuran tersebut.
- 1 Julai 2025: Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, digantung tugas dan berdepan kemungkinan pemecatan selepas panggilan telefon dengan bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen, bocor — yang memperlihatkan beliau didakwa mengkritik cara tentera Thailand mengendalikan konflik.
- 16 Julai 2025: Letupan periuk api di kawasan yang dipertikaikan mencederakan tiga anggota tentera Thailand apabila seorang daripada mereka terpijak bahan letupan.
- 23 Julai 2025: Letupan periuk api yang lain mencederakan lima anggota tentera Thailand, termasuk seorang yang kehilangan kaki. Susulan insiden, Thailand memanggil pulang dutanya di Kemboja dan menutup semua pintu sempadan dengan negara jiran itu.
- 24 Julai 2025: Kemboja bertindak balas dengan menurunkan hubungan diplomatik ke tahap paling rendah dan memanggil pulang semua kakitangan kedutaannya di Bangkok.
Kronologi Konflik pada 24 Julai 2025 (setakat jam 12 tengah hari waktu tempatan)
- 6:30 pagi – Kemboja mendakwa tentera Thailand melanggar perjanjian dengan memasang dawai berduri di kaki Kuil Ta Moan Thom.
- 7:04 pagi – Thailand melancarkan dron selama dua minit, menurut Kemboja.
- 7:35 pagi – Thailand mengesan dron Kemboja di kawasan Kuil Ta Muen Thom.
- 8:20 pagi – Thailand mendakwa Kemboja melepaskan tembakan pertama.
- 8:30 pagi – Kemboja pula mendakwa Thailand memulakan tembakan.
- 8:46 pagi – Kemboja mendakwa Thailand melancarkan serangan bersenjata ke atas pasukan mereka di Kuil Ta Moan Thom, sebelum meluaskan serangan ke Kuil Ta Krabey, Phnom Khmao dan kawasan Moum Bei.
- 8:50 pagi – Thailand mendakwa Kemboja melancarkan tembakan sokongan ke arah kawasan Kuil Ta Muen Thom.
- 8:55 pagi – Thailand melaporkan pertempuran bersenjata meletus di sepanjang sempadan, melibatkan senjata ringan dan berat.
- 9:00 pagi – Seorang anggota tentera Thailand cedera.
- 9:11 pagi – Dua lagi anggota Thailand cedera akibat tembakan intensif dari arah barat Kuil Ta Muen Thom.
- 9:30 pagi – Kemboja melepaskan roket BM-21 dari Bukit Khao Laem, 6 km dari sempadan Chong Chom. Thailand membalas dengan mortar.
- 9:42 pagi – Roket BM-21 Kemboja mengenai Pusat Pembangunan Sempadan di daerah Kap Choeng, Surin.
- 9:47 pagi – Pertempuran merebak ke seluruh kawasan sempadan termasuk Surin, Ubon Ratchathani dan Sisaket.
- 9:50 pagi – Kemboja cuba memasuki kawasan berhampiran Kuil Ta Kwai. Thailand membalas dengan artileri.
- 10:30 pagi – Thailand melaporkan pertempuran berlaku di enam lokasi: Kuil Ta Muen Thom, Kuil Ta Kwai, Chong Bok, Khao Phra Wihan, Chong An Ma dan Chong Chom.
- 10:40 pagi – Kemboja mendakwa jet F-16 Thailand menjatuhkan dua bom berhampiran Pagoda Wat Kaew Seekha Kiri Svarak.
- 10:51 pagi – Thailand mengerahkan enam jet F-16 ke kawasan sempadan Chong An Ma.
- 10:58 pagi – Thailand mendakwa berjaya memusnahkan beberapa pangkalan tentera Kemboja.
- 11:00 pagi – Kemboja melancarkan roket BM-21 ke kawasan awam di Surin. Seorang awam terbunuh, tiga lagi cedera parah termasuk seorang kanak-kanak. Hospital, stesen minyak dan kawasan kediaman turut terjejas.
- 11:37 pagi – Thailand memusnahkan sistem kabel bekalan yang digunakan oleh tentera Kemboja di Gunung Phu Makheu.
- 11:54 pagi – Thailand mendakwa Kemboja menyerang Hospital Phanom Dong Rak, mencederakan orang awam.
- 11:55 pagi – Thailand menutup semua pintu sempadan dengan Kemboja.
- 12:00 tengah hari – Perdana Menteri Thailand mengutuk serangan Kemboja dan menegaskan komitmen penuh kerajaan untuk mempertahankan keselamatan negara dan rakyat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami