TOKYO: Angka kematian akibat gempa bumi di wilayah Ishikawa di tengah Jepun meningkat kepada 92 orang dengan jumlah penduduk yang tidak dapat dikesan melebihi 200 orang, empat hari selepas beberapa siri gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter melanda wilayah itu dan kawasan sekitarnya.

Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan akan peningkatan tahap kerosakan di wilayah berkenaan, lapor Xinhua.

Setakat 9 pagi waktu tempatan pada Jumaat, seramai 242 penduduk dilaporkan hilang di Ishikawa, lapor Agensi Berita Kyodo.

Bandar pesisir pantai Wajima yang paling teruk terjejas melaporkan lebih 40 kes mangsa tertimbus dan terperangkap di bawah runtuhan.

Pasukan Pertahanan Diri Jepun telah memperhebat usaha menyelamat dengan penglibatan seramai 4,600 anggota yang bekerjasama dengan polis dan Jabatan Bomba.

Kawasan seluas kira-kira 48,000 meter persegi, bersamaan dengan saiz 4.5 padang bola, musnah selepas kebakaran besar berlaku di tengah Wajima semasa gempa bumi, lapor Kyodo, memetik anggaran terkini daripada Pihak Berkuasa Maklumat Geospatial Jepun.

Penghantaran bekalan penting berdepan kesukaran apabila lebih 10 lokasi mengalami penutupan jalan akibat tanah runtuh.

Selain itu lebih 700 orang masih terkandas di komuniti terpencil di wilayah berkenaan.

Infrastruktur di wilayah Ishikawa juga mengalami kerosakan teruk dengan kira-kira 30,000 isi rumah mengalami gangguan bekalan elektrik manakala 80,000 isi rumah di 13 bandar dan pekan mengalami gangguan bekalan air.

Sementara itu, kira-kira 33,000 orang masih berada di 370 pusat pemindahan di Ishikawa dengan isu berkaitan sanitasi, termasuk akses ke tandas menjadi kebimbangan utama penduduk terjejas.

-- BERNAMA