SEOUL: Korea Selatan akan menyumbangkan vaksin COVID-19 kepada Iran dalam usaha kemanusiaan membantu negara Asia Barat itu menangani kekurangan vaksin, kata Kementerian Luar Korea Selatan pada Isnin.

Satu juta dos vaksin AstraZeneca dijadualkan tiba di Iran pada Rabu setelah Korea Selatan menyaksikan Tehran diletakkan di bawah krisis kemanusiaan yang serius, disebabkan oleh kekurangan vaksin COVID-19, kata kementerian di Seoul itu dalam satu kenyataan.

Kementerian itu berkata sumbangan vaksin berkenaan akan melambangkan hubungan persahabatan selama enam dekad yang telah terjalin antara kedua-dua negara, selain Korea Selatan telah menyertai usaha global untuk menangani pandemik melalui sumbangan vaksin COVID-19, lapor Xinhua.

Awal bulan ini, Korea Selatan telah menyumbang 1.1 juta dos vaksin AstraZeneca kepada Vietnam dan 470,000 dos vaksin kepada Thailand.

Sumbangan itu dibuat ketika kadar vaksinasi penuh Korea Selatan melepasi 70 peratus daripada jumlah populasi, yang dianggap oleh kerajaan Seoul sebagai prasyarat utama untuk mengurangkan langkah-langkah antivirus.

-- BERNAMA