Korea Selatan menarik semula amaran berjaga-jaga terhadap serangan Korea Utara.

Kementerian Pertahanan memaklumkan, amaran itu ditarik semula selepas tidak mengesan sebarang tanda-tanda Pyongyang akan melancarkan perang dalam masa terdekat.

Tentera Korea Selatan pada Selasa dikerah, selepas mengesan kehadiran objek di sempadan negara itu dengan Korea Utara.

Amaran dikeluarkan pada tahap satu, yang meliputi arahan serangan balas terhadap mana-mana pihak yang menceroboh kedaulatan negara itu.

Ketegangan di Semenanjung Korea semakin memuncak selepas Pyongyang memulakan provokasi, kerana berang dengan sekatan yang dikenakan ke atasnya.

Pyongyang mengeluarkan ancaman baru terhadap Korea Selatan dan sekutunya Amerika Syarikat hampir setiap hari.

Ini termasuk mengumumkan rancangan menempatkan unit artileri jarak jauh, untuk menyerang pangkalan tentera Amerika Syarikat di Kepulauan Pasifik.