Skip to main content

Dunia

Korea Utara lancar latihan serangan besar-besaran libatkan peluru berpandu, dron tempur

A North Korean flag flutters at the propaganda village of Gijungdong in North Korea, in this picture taken near the truce village of Panmunjom inside the demilitarised zone (DMZ) separating the two Koreas, South Korea, Jul 19, 2022. (File photo: REUTERS/Kim Hong-Ji)
Bendera Korea Utara berkibar di perkampungan propaganda Gijungdong di Korea Utara dalam gambar yang dirakam berhampiran Kampung Gencatan Senjata Panmunjom di dalam Zon Bebas Tentera (DMZ) yang memisahkan kedua-dua Korea, di Korea Selatan, pada 19 Julai 2022. - Gambar fail/ Reuters
Advertisement

SEOUL: Korea Utara memaklumkan bahawa negara itu telah melaksanakan satu latihan serangan tembakan berskala besar yang melibatkan artileri jarak jauh serta pelbagai jenis peluru berpandu, menurut laporan media negara itu pada Isnin.

Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) melaporkan, latihan yang digelar sebagai "latihan serangan kuasa tembakan" itu diadakan pada Sabtu dan melibatkan unit gabungan di semua peringkat Tentera Rakyat Korea.

Sehari sebelum itu, Korea Selatan melaporkan Korea Utara telah melancarkan beberapa peluru berpandu balistik dari kawasan Wonsan ke arah Laut Timur, yang turut dikenali sebagai Laut Jepun.

Pelancaran tersebut berlaku sehari selepas Korea Selatan menamatkan latihan maritim bersama Amerika Syarikat (AS) dan Jepun selama lima hari yang memberi tumpuan kepada ancaman dari Korea Utara.

KCNA bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi sebenar latihan itu dijalankan.

Menurut laporan berkenaan, latihan tersebut menggunakan beberapa sistem tempur baharu termasuk pelbagai jenis dron serangan, peluru berpandu kruis taktikal, pelancar roket berganda berkaliber besar berkuasa tekanan haba serta peluru berpandu balistik taktikal.

KCNA turut mendakwa, semua sistem senjata yang digunakan berjaya menunjukkan "kuasa pemusnah yang besar menerusi tembakan bersepadu" selepas mengenai sasaran dengan ketepatan 100 peratus.

Latihan terbaharu itu dilihat sebagai satu lagi demonstrasi keupayaan ketenteraan Pyongyang ketika ketegangan di Semenanjung Korea terus memuncak susulan siri latihan ketenteraan melibatkan Korea Selatan, AS dan Jepun. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement