KOREA Utara melancarkan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) di luar pantai timurnya pada Rabu.

Tindakan itu menyebabkan kecaman daripada Amerika Syarikat serta pemimpin Korea Selatan dan Jepun yang bertemu di luar sidang kemuncak NATO.

Menurut Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Hirokazu Matsuno, peluru berpandu itu terbang selama 74 minit ke ketinggian 6,000 km dan jarak 1,000 km serta dianggap masa penerbangan paling lama untuk peluru berpandu Korea Utara.

Pelancaran itu dibuat selepas aduan dari Korea Utara dalam beberapa hari kebelakangan ini, menuduh pesawat pengintip Amerika terbang di atas zon ekonomi eksklusifnya.

White House mengecam pelancaran itu dan berkata ia akan mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan keselamatannya, Korea Selatan dan Jepun.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengutuk sekeras-kerasnya pelancaran itu.

Beliau menggesa Pyongyang mematuhi resolusi yang mengharamkan pembangunan peluru berpandu balistik dan menyambung semula dialog nyahnuklear di Semenanjung Korea.

Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol yang kini berada di Lithuania untuk sidang kemuncak NATO, mengadakan mesyuarat tergempar majlis keselamatan negara dan berjanji akan menggunakan sidang kemuncak itu untuk menyeru solidariti antarabangsa yang kukuh untuk menghadapi ancaman sedemikian.

Yoon dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida mengadakan perbincangan berasingan dan mengutuk sekeras-kerasnya pelancaran itu sebagai pelanggaran berat terhadap pelbagai resolusi PBB dan provokasi serius yang meningkatkan ketegangan.

Kishida pula berkata, pelancaran itu mengancam keamanan dan kestabilan di rantau ini dan menegaskan kerjasama lebih erat diperlukan antara kedua-dua negara jiran itu dan Amerika Syarikat.

Jepun berkata, peluru berpandu itu mendarat di laut timur semenanjung Korea dan kira-kira 250 km ke barat pulau Okushiri di utara Jepun. - Agensi