Korea Selatan berkata Korea Utara melancarkan roket jarak jauh mereka awal pagi tadi.

Tindakan berkenaan berlaku hanya beberapa hari menjelang pilihan raya Presiden Korea Selatan.

Ia adalah pelancaran roket kedua di bawah kepimpinan Kim Jong Un.

Jong Un mengambil alih tampuk pemerintahan negara itu tahun lalu selepas kematian bapanya Kim Jong Il.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada pelancaran roket itu berjaya atau tidak. Pelancaran roket itu didedahkan oleh pegawai di Kementerian Pertahanan Korea Selatan.

Sementara itu Jepun membantah tindakan Korea Utara yang nekad melancarkan roket jarak jauhnya.

Ekoran itu Tokyo mengadakan mesyuarat keselamatan tergempar bagi menganalisis keadaan itu.

Pentadbiran Jepun bagaimanapun pada masa sama meminta semua pihak di negara berkenaan supaya bertenang.

Setiausaha kabinet Jepun Osamu Fujimura berkata roket berkenaan dilancarkan pada jam 9.49 pagi waktu tempatan.

Ia kemudian didapati mendarat di laut dekat semenanjung Korea dan Filipina.

"Kami dukacita Korea Utara meneruskan program pelancaran roket mereka. Kita akan melancarkan protes membantah perbuatan mereka," tambah Fujimura.

Kerajaan, katanya, masih mencari pengesahan sekiranya terdapat sebarang kerosakan di Wilayah Jepun akibat daripada pelancaran roket itu.

Fujimura juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan melakukan apa saja untuk memastikan keselamatan penduduk.

Dalam pada itu, Jepun mula menggerakkan sistem pertahanannya. Unit peluru berpandu juga telah diarah untuk memintas roket Korea Utara yang mengancam keselamatan negara itu.