SEOUL: Korea Utara menafikan dakwaan bahawa negara itu berada di sebalik serangan siber bernilai AS$6.3 bilion terhadap platform pertukaran mata wang kripto Binance, yang disifatkan sebagai kecurian aset digital terbesar pernah direkodkan.
Dalam kenyataan pada Selasa, Kim Yo-jong, adik kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dan pegawai kanan Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK), menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai "retorik tidak masuk akal" serta satu lagi cubaan jahat Amerika Syarikat untuk mencemarkan imej Pyongyang.
Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI), Perkhidmatan Rahsia AS dan beberapa penganalisis keselamatan siber sebelum ini mendakwa Korea Utara merancang dan melaksanakan serangan tersebut, yang dianggap sebagai penggodaman terbesar dalam sejarah industri mata wang kripto.
Ini merupakan insiden terbaharu yang dikaitkan dengan Korea Utara, yang berulang kali dituduh menggunakan jenayah siber bagi membantu menjana pendapatan untuk ekonominya yang terjejas akibat sekatan antarabangsa.
Penganalisis rantaian blok dan FBI mendakwa, serangan itu didalangi kumpulan penggodam yang disokong negara dikenali sebagai TraderTraitor.
FBI turut menggesa pemain industri mata wang kripto membantu menyekat transaksi yang melibatkan akaun digital yang dikaitkan dengan kumpulan berkenaan.
"Dakwaan Amerika Syarikat yang sekali lagi mengaitkan insiden itu dengan DPRK adalah satu provokasi murahan," kata Kim Yo-jong.
Beliau mendakwa, Washington cuba mempengaruhi pandangan masyarakat antarabangsa dengan menggambarkan seolah-olah semua jenayah siber yang berlaku di seluruh dunia berpunca daripada Korea Utara.
Bagaimanapun, Pyongyang sebelum ini turut dipersalahkan dalam beberapa serangan siber besar di peringkat global, dakwaan yang sentiasa dinafikan oleh negara itu.
Unit TraderTraitor yang juga dikenali sebagai Lazarus Group sebelum ini dipersalahkan atas serangan terhadap platform kripto Bybit pada 2025 yang mengakibatkan kehilangan aset bernilai AS$1.5 bilion, rekod terbesar pada ketika itu.
Beberapa pusat penyelidikan termasuk S. Rajaratnam School of International Studies sebelum ini melaporkan bahawa Korea Utara secara sistematik membangunkan operasi sibernya dengan merekrut pelajar cemerlang universiti untuk diserap ke dalam unit penggodam yang diselia agensi perisikan negara itu. Pyongyang menafikan dakwaan tersebut.
Menurut Kim Yo-jong, pendirian konsisten kerajaan DPRK adalah menentang sebarang bentuk aktiviti berniat jahat di alam siber.
Sementara itu, Binance belum mengulas lanjut mengenai dakwaan yang mengaitkan Korea Utara dengan serangan tersebut. Sejak insiden berlaku, syarikat itu lebih menumpukan kenyataan awam kepada aspek teknikal pencerobohan dan langkah perlindungan pengguna.
Binance berkata, siasatan awal mendapati komputer riba seorang jurutera telah dikompromi, sekali gus membolehkan penggodam melakukan pengeluaran aset tanpa kebenaran.
Dagangan mata wang kripto utama di platform itu kini kembali beroperasi selepas Binance bekerjasama dengan beberapa pihak bagi membekukan aset yang terjejas akibat serangan berkenaan.
Pada Ahad, Binance memaklumkan pelanggannya mengeluarkan lebih AS$3.6 bilion aset daripada platform tersebut selepas operasi dibuka semula susulan penggantungan semua transaksi sejurus selepas serangan berlaku.
Syarikat itu turut berulang kali memberi jaminan akan menanggung sepenuhnya kerugian yang berpunca daripada insiden tersebut dan setakat ini telah menggantikan kira-kira 95 peratus aset yang dicuri. - BBC