PYONGYANG: Menteri Pertahanan Korea Utara, No Kwang Chol, disingkirkan daripada jawatannya susulan rombakan kepimpinan tertinggi angkatan tentera negara itu.
Agensi Berita Sentral Korea (KCNA) melaporkan keputusan berkenaan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Ke-2 Suruhanjaya Ketenteraan Pusat Ke-9 Parti Pekerja Korea (WPK) yang dipengerusikan pemimpin tertinggi negara itu, Kim Jong Un, pada Sabtu.
Selain dilucutkan daripada jawatan menteri pertahanan dan kepimpinan pusat parti, No turut diturunkan pangkat sebagai Naib Pengarah Pertama Jabatan Industri Persenjataan WPK.
Susulan rombakan itu, Pengarah Biro Politik Am Tentera Rakyat Korea (KPA), Kim Song Gi, dilantik sebagai Menteri Pertahanan Korea Utara yang baharu.
Dalam pelantikan kepimpinan yang sama, penasihat pertahanan kanan Pak Jong Chon dilantik sebagai Naib Pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat selepas dipilih semula menganggotai Jawatankuasa Pusat dan Biro Politik parti pemerintah.
Dalam laporan berasingan, KCNA berkata Kim Jong Un turut memuji sumbangan saintis, penyelidik dan pegawai pertahanan dalam satu majlis khas sebelum mengurniakan penghormatan tertinggi negara kepada mereka.
Menurut KCNA, penerima anugerah berkenaan berjaya menyelesaikan beberapa cabaran saintifik dan teknikal penting yang menyokong pembangunan sistem persenjataan baharu.
KCNA berkata pusat penyelidikan persenjataan negara itu turut membangunkan beberapa teknologi baharu yang disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan tempur Korea Utara.