SEOUL: Korea Utara menjalankan ujian pelancaran sistem pelancar roket berganda berpandu 240 milimeter (mm) yang dipertingkatkan pada Selasa, dengan senjata itu dijangka mengukuhkan keupayaan tempur negara tersebut di kawasan sempadan dengan Korea Selatan.
Menurut agensi berita negara, KCNA, ujian itu membuktikan ketepatan serta keupayaan roket jarak jauh yang dilengkapi sistem panduan autonomi berketepatan tinggi.
Roket berkenaan dilaporkan mampu mengenai sasaran sejauh 100 kilometer dalam mod penerbangan biasa, manakala jaraknya boleh mencecah 115 kilometer menerusi mod geluncuran gabungan.
KCNA berkata pembangunan sistem itu akan membawa perubahan ketara kepada tahap kesiapsiagaan kuasa tembakan Korea Utara di sempadan selatan negara berkenaan.
Ujian itu diselia Naib Pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat, Pak Jong Chon, yang menegaskan keperluan menumpukan aset serangan paling berkuasa dan berkesan di kawasan sempadan dengan Korea Selatan.
Korea Utara sejak beberapa tahun kebelakangan ini giat menaik taraf persenjataan taktikal dan konvensional yang dirancang untuk ditempatkan berhampiran sempadan antara kedua-dua negara.
Pakar dari Institute for Far Eastern Studies, Kyungnam University, Lim Eul Chul, berkata penggunaan sistem panduan berketepatan tinggi menunjukkan Korea Utara berpotensi menyerang kemudahan strategik di kawasan metropolitan Seoul dengan margin kesilapan yang sangat kecil.
Pada Jun lalu, pemimpin Korea Utara Kim Jong Un turut menyelia ujian beberapa sistem senjata utama, termasuk pelancar roket yang dipertingkatkan dan peluru berpandu taktikal yang menurut Pyongyang akan digunakan bagi mempertahankan sempadan selatan negara itu.
Dalam perkembangan berasingan, Menteri Luar Korea Utara Choe Son Hui menegaskan status negara itu sebagai kuasa bersenjata nuklear tidak boleh diubah, selepas Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun mengulangi komitmen mereka untuk mencapai penyahnuklearan sepenuhnya Korea Utara dalam mesyuarat tiga hala minggu ini.