Seorang lelaki di barat daya China bertindak nekad menyiram badannya dengan petrol dan mengikat mercun pada pinggangnya untuk menakut-nakutkan orang ramai.

Menurut laporan media tempatan, dia bertindak demikian kerana pihak berkuasa membatalkan jamuan sambutan hari lahirnya susulan langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan koronavirus (COVID-19).

Agensi berita Xinhua melaporkan lelaki yang hanya dikenali Wang, 59, di Chongqing itu dilaporkan merancang majlis dilengkapi 10 meja pada akhir bulan lalu.

"Sekatan dan larangan perhimpunan awam yang dikuatkuasakan pihak berkuasa menyebabkan majlis itu perlu dibatalkan.

"Wang kemudiannya hadir di pejabat jawatankuasa kampung untuk mengugut dan cuba menakut-nakutkan jawatankuasa kampung dengan tindakannya itu."

Susulan insiden itu, peguam cara tempatan memfailkan dakwaan atas tingkah laku tidak senonoh terhadap Wang.

Ketika ini, ratusan juta penduduk di China berdepan sekatan yang turut memberi kesan kepada aktiviti harian mereka sebagai usaha untuk mengelakkan COVID-19 terus merebak.

Minggu lalu, pihak berkuasa perbandaran Beijing turut melarang sebarang jamuan atau makan malam secara beramai-ramai sebagai langkah untuk mencegah virus itu daripada terus menular.