Skip to main content

Dunia

Kos EU akibat 'krisis bekalan paling serius' melebihi €30 bilion

dan jorgensen
Pesuruhjaya Tenaga Kesatuan Eropah (EU) Dan Jorgensen berkata blok berkenaan sedang bersiap sedia menghadapi kemungkinan gangguan bekalan bahan api. - Reuters

BRUSSELS: Pesuruhjaya Tenaga Kesatuan Eropah (EU) Dan Jorgensen memberi amaran mengenai peningkatan kos bekalan bagi blok itu susulan konflik di Iran dan sekatan terhadap Selat Hormuz, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Sejak tercetusnya konflik di Asia Barat, negara anggota EU membelanjakan lebih €30 bilion (AS$35 bilion) tambahan untuk import bahan api fosil tanpa menerima sebarang bekalan tambahan,” kata Jorgensen kepada wartawan di Brussels pada Selasa.

“Dunia kini berdepan apa yang boleh dianggap sebagai krisis bekalan paling teruk pernah berlaku, yang sedang menguji daya tahan ekonomi, masyarakat dan kerjasama kita,” katanya.

Kira-kira satu perlima minyak dan gas asli cecair yang didagangkan di dunia lazimnya melalui Selat Hormuz.

Sejak konflik antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran bermula, Tehran secara berkesan menghentikan perkapalan melalui laluan sempit itu melalui ancaman dan serangan, manakala Washington mengenakan sekatan laut terhadap kapal yang memasuki atau meninggalkan pelabuhan Iran.

Selain itu, kemudahan pengeluaran tenaga di beberapa negara Teluk turut rosak akibat serangan Iran sejak beberapa bulan lalu.

Jorgensen memberi amaran mengenai kesan jangka panjang kerosakan itu, dengan menyatakan pengeluaran gas di rantau berkenaan “kemungkinan mengambil masa bertahun-tahun untuk dipulihkan”, manakala pengeluaran minyak dijangka pulih lebih cepat.

Pesuruhjaya EU itu berkata blok berkenaan sedang bersiap sedia menghadapi kemungkinan gangguan bekalan bahan api.

 “Kita belum sampai ke tahap itu, tetapi ia boleh berlaku, khususnya bagi bahan api jet,” katanya.

Suruhanjaya Eropah dijangka mengemukakan garis panduan kepada syarikat penerbangan lewat minggu ini.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video