KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bakal memperkukuh kerjasama strategik khususnya dalam mengimbangi kerancakan aktiviti ekonomi peneroka dengan agenda kelestarian alam sekitar negara.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata fokus kerjasama itu termasuk potensi penglibatan tanah-tanah Felda dalam inisiatif pasaran karbon bagi menjana sumber pendapatan baharu yang lebih hijau.
Beliau berkata sinergi antara kedua-dua pihak turut melibatkan usaha memastikan pemuliharaan kawasan tadahan air di sekitar tanah rancangan terus terpelihara demi kelestarian jangka panjang.
“Menerima kunjungan hormat daripada delegasi Felda yang diketuai oleh Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di pejabat saya hari ini.
“Pertemuan ini merupakan platform penting bagi memperkukuh kerjasama strategik antara NRES dan Felda,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Arthur turut menzahirkan kepercayaan bahawa melalui kerjasama erat tersebut, warga Felda berupaya mencapai kecemerlangan bukan sahaja dari segi sosioekonomi bahkan menjadi pelopor kepada amalan pertanian mampan demi masa depan generasi akan datang.
-- BERNAMA