Kremlin sah sasar adakan rundingan Putin-Trump dalam tempoh dua minggu

Pertemuan terakhir antara kedua-dua mereka berlangsung di Alaska, Ogos lepas. - Gambar fail/REUTERS
MOSCOW: Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dijangka mengadakan sidang kemuncak baharu dalam tempoh dua minggu, menurut jurucakap Kremlin Dmitry Peskov pada Jumaat, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Ringkasan AI
- Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden AS Donald Trump dijangka mengadakan sidang kemuncak baharu dalam dua minggu dengan Budapest berpotensi menjadi lokasi.
- Pertemuan itu bertujuan membincangkan penyelesaian perang Rusia-Ukraine, namun beberapa isu teknikal termasuk keselamatan Putin masih dibincangkan.
- Hungary menawarkan diri menjadi tuan rumah meskipun terikat dengan waran tangkap ICC terhadap Putin berkaitan pemindahan kanak-kanak Ukraine.
Trump, yang berulang kali menyatakan beliau mampu menamatkan perang antara Rusia dan Ukraine dalam masa sehari sekiranya kembali memegang jawatan, dilaporkan amat berhasrat untuk merundingkan perjanjian damai bagi menamatkan konflik.
Peskov berkata pertemuan itu perlu diadakan secepat mungkin, namun mengakui terdapat beberapa "isu" yang masih perlu diselesaikan. Beliau berkata Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov dan Setiausaha Negara AS Marco Rubio akan berbincang melalui telefon, menurut laporan agensi TASS.
Menurut Peskov, Putin berbincang dengan Perdana Menteri Hungary Viktor Orban pada Jumaat , yang menawarkan untuk menjadi tuan rumah sidang kemuncak itu dan cadangannya diterima oleh Putin. Orban mempunyai hubungan rapat dengan kedua-dua pemimpin.
Rusia dijangka menuntut jaminan keselamatan untuk memastikan kehadiran Putin, memandangkan beliau masih tertakluk kepada waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Hungary mengumumkan pada April yang ia akan menarik diri daripada ICC dan parlimennya meluluskan keputusan pada Mei. Penarikan diri itu, bagaimanapun hanya berkuat kuasa setahun selepas notis rasmi diberikan, menjadikan Hungary masih secara sah wajib menangkap Putin sekiranya beliau memasuki negara itu.
Walaupun selepas penarikan diri, Hungary tetap terikat untuk bekerjasama dengan siasatan ICC yang dimulakan sebelum keluar, walaupun kuasa penguatkuasaan mahkamah itu adalah terhad.
ICC menuduh Putin bertanggungjawab terhadap penculikan dan pemindahan kanak-kanak dari wilayah Ukraine yang diduduki Rusia ke Rusia. Waran tangkap ke atas beliau dikeluarkan pada Mac 2023.
Moscow bagaimanapun menyifatkan pemindahan paksa itu sebagai "pemindahan demi keselamatan".
--BERNAMA-dpa
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami