NEW YORK: Ketua Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicef) pada Rabu memberi amaran bahawa ketiadaan air minuman yang selamat di Gaza boleh mengancam nyawa dan menyebabkan lebih ramai kanak-kanak berisiko dijangkiti penyakit, lapor Xinhua.

Pengarah Eksekutif Unicef Catherine Russell berkata kekurangan akses kepada air bersih kini umpama hidup dan mati buat kanak-kanak di Gaza yang hampir tidak mempunyai air untuk diminum.

"Kanak-kanak dan keluarga mereka terpaksa menggunakan air daripada sumber tidak selamat yang mempunyai kandungan garam tinggi atau tercemar.

"Tanpa air yang selamat, ramai lagi kanak-kanak akan mati akibat serba kekurangan dan penyakit dalam beberapa hari akan datang," katanya.

Amaran kemanusiaan itu dibuat selepas lebih 10 minggu serangan Israel ke atas wilayah terkepung berkenaan.

Bagi mengelak serangan Israel, lebih 1.4 juta penduduk Gaza mencari perlindungan di kemudahan yang dikendalikan oleh Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

Tetapi Unicef berkata kanak-kanak yang kehilangan tempat tinggal di selatan Rafah hanya mempunyai 1.5 hingga dua liter air setiap hari dan jumlah bekalan air semakin berkurangan.

"Untuk kelangsungan hidup sahaja, anggaran minimum (air diperlukan) ialah tiga liter sehari," menurut agensi PBB itu dalam satu kenyataan.

Walaupun kekurangan air minuman adalah sesuatu yang membimbangkan, Unicef menegaskan "ratusan ribu" penduduk yang kehilangan tempat tinggal -- separuh daripadanya kanak-kanak -- juga "amat terdesak kepada" makanan, tempat tinggal, ubat-ubatan dan perlindungan.

Sekurang-kurangnya 50 peratus kemudahan WASH (air, sanitasi dan kebersihan) -- yang menyediakan perkhidmatan air dan sanitasi asas -- telah rosak atau musnah di Gaza, dan Unicef memberi amaran bahawa kesan situasi itu terhadap kanak-kanak amat membimbangkan kerana mereka lebih terdedah kepada cirit-birit, pelbagai jenis penyakit dan kekurangan zat makanan.

"Setakat ini, pihak berkuasa merekodkan hampir 20 kali ganda purata bulanan kes cirit-birit yang dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun, selain peningkatan kes kudis, kutu, cacar air, ruam kulit dan lebih 160,000 kes jangkitan pernafasan akut," lapor Unicef.

Sejak konflik di Gaza bermula, Unicef dan rakan kongsi telah menyediakan bahan api untuk mengendalikan telaga, loji penyahgaraman, lori air dan pengurusan sisa dan kumbahan bersama-sama dengan air botol dan bekas air untuk lebih 1.3 juta orang.

Lebih 45,000 bekas mengisi air telah diedarkan bersama sekurang-kurangnya 130,000 kit kebersihan.

-- BERNAMA