Skip to main content

Dunia

Krisis ekonomi: Thailand pertimbang dekri kecemasan untuk pinjaman 500 bilion baht

Riders with vehicles queue to fill up fuel at a gas station amid the U.S.-Israeli conflict with Iran, in Bangkok, Thailand, March 26, 2026. REUTERS/Athit Perawongmetha
Pakorn menekankan ketidaktentuan luaran yang semakin meningkat, termasuk konflik geopolitik dan cabaran alam sekitar boleh menjejaskan hasil pertanian dan ekonomi yang lebih luas. - Gambar fail/Reuters

BANGKOK: Kerajaan Thailand sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan dekri kecemasan bagi meminjam sehingga 500 bilion baht (RM61.61 bilion) sebagai persediaan menghadapi potensi krisis ekonomi dan keselamatan, kata Timbalan Perdana Menteri Pakorn Nilprapunt pada Isnin.

Pakorn berkata langkah itu sedang dinilai di bawah kuasa perlembagaan kerajaan, yang membenarkan pengeluaran dekri kecemasan dalam situasi mendesak yang menjejaskan keselamatan negara atau ekonomi.

Advertisement

Beliau menyatakan bahawa di bawah Seksyen 172 Perlembagaan, dekri sedemikian boleh digubal apabila terdapat keperluan segera tetapi seterusnya mesti dikemukakan kepada Dewan Perwakilan pada peluang terawal.

"Situasi semasa memerlukan tindakan segera memandangkan negara menghadapi pelbagai risiko, manakala sumber fiskal kekal terhad dan ketat," katanya dalam satu kenyataan.

Pakorn menekankan ketidaktentuan luaran yang semakin meningkat, termasuk konflik geopolitik dan cabaran alam sekitar seperti fenomena Super El Nino, yang boleh menjejaskan hasil pertanian dan ekonomi yang lebih luas.

Beliau berkata kerajaan perlu mengekalkan rizab kewangan yang mencukupi untuk bertindak pantas terhadap kecemasan, walaupun pinjaman sebenar mungkin tidak mencapai siling penuh 500 bilion baht.

"Di bawah prinsip pengurusan hutang awam, kerajaan mesti terlebih dahulu memperluaskan kapasiti pinjamannya kepada jumlah penuh yang ditetapkan dalam undang-undang," tambahnya.

Pakorn berkata kerajaan juga mungkin melaksanakan Akta Pemindahan Bajet secara selari untuk memperkukuh kesediaan kewangan dalam menangani potensi krisis.

Beliau menambah bahawa rancangan pinjaman itu memerlukan kenaikan siling hutang awam daripada 70 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada masa ini, dengan hutang awam Thailand kini berada pada paras kira-kira 66 peratus.

Kementerian Kewangan akan menentukan siling baharu memandangkan ruang fiskal yang semakin mengecil.

Secara berasingan, Pakorn berkata cadangan untuk membenarkan Kementerian Kewangan menjamin pinjaman sehingga 150 bilion baht bagi Dana Bahan Api Minyak masih dalam semakan, sambil menyatakan bahawa subsidi yang berpanjangan telah melonjakkan hutang dana itu melebihi 100 bilion baht, melampaui peranan asalnya sebagai alat penstabilan jangka pendek.

-- BERNAMA

Must Watch Video