BRUSSELS: Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden mahu Rusia keluar daripada kumpulan G20.

Biden membuat kenyataan itu semasa sidang akhbar di Brussels berikutan beberapa siri mesyuarat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mendesak mengenai pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

G20 ialah forum antara kerajaan 19 negara dan Kesatuan Eropah bagi menangani isu global utama.

Biden berkata beliau lebih gemar jika Rusia dikeluarkan daripada kumpulan itu.

Tetapi sekiranya Indonesia atau negara lain tidak senada, beliau akan meminta pemimpin Ukraine dibenarkan masuk untuk memerhati.

"Pada perkara yang sama, jawapan saya ya. Ia bergantung kepada G20.

"Itu dibangkitkan hari ini dan saya bangkitkan kemungkinan jika itu tidak boleh dilakukan.

"Jika Indonesia dan lain-lain tidak bersetuju, maka kita harus atau saya meminta agar Ukraine dapat menghadiri mesyuarat itu.

"Pada dasarnya Ukraine boleh menghadiri mesyuarat G20 untuk memerhati," kata Biden.

Biden dan sekutu barat pada Khamis menjanjikan sekatan baharu dan bantuan kemanusiaan sebagai tindak balas terhadap serangan berterusan di Ukraine oleh Presiden Rusia Vladimir Putin.

Biden juga berkata sebarang serangan senjata kimia yang berpotensi oleh Rusia akan "mencetuskan tindak balas yang serupa."

Biden dan sekutu NATO sebelum ini menegaskan bahawa mereka tidak akan meletakkan tentera di bumi Ukraine.