Skip to main content

Dunia

Krisis sempadan: Sepanyol kerah tentera selepas ribuan migran cuba masuk Ceuta

Migrants cross from Morocco into the Spanish enclave of Ceuta, Thursday, July 30, 2026. (AP Photo/Antonio Sempere)
Ribuan migran dari Maghribi berkumpul berhampiran sempadan yang memisahkan bandar Castillejos di Maghribi dengan Ceuta dalam cubaan yang dipercayai diselaraskan untuk memasuki wilayah Sepanyol itu. - Gambar/ AP
Advertisement

GENEVA/LONDON: Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez pada Khamis berkata kerajaan mengerahkan segala sumber yang ada selepas ribuan warga Maghribi cuba memasuki wilayah Ceuta milik Sepanyol, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Kerajaan Sepanyol komited sepenuhnya untuk mengambil tindakan segera bagi menangani situasi di Ceuta,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Sanchez berkata Sepanyol mengerahkan “segala sumber yang diperlukan”, selain bekerjasama dengan pihak berkuasa Maghribi dan antarabangsa serta menyediakan langkah bagi memulihkan keadaan seperti sediakala secepat mungkin. 

Beliau berkata tindakan kerajaan itu turut dimaklumkan kepada Presiden Wilayah Ceuta, Juan Vivas.

“Sekarang ialah masanya untuk mencari penyelesaian secara bertanggungjawab dan melalui kerjasama,” kata beliau.

Kerajaan Sepanyol turut mengumumkan pengerahan angkatan tentera bagi membantu Pengawal Awam mengekalkan keselamatan di seluruh bandar itu.

Sanchez dan Menteri Dalam Negeri Fernando Grande-Marlaska dijadual melawat Ceuta pada Jumaat bagi meninjau sendiri situasi di wilayah berkenaan.

Keputusan itu dibuat susulan permintaan pihak berkuasa tempatan Ceuta supaya kerajaan pusat di Madrid menyalurkan bantuan tambahan selepas krisis sempadan yang semakin memuncak pada Khamis.

Agensi berita Sepanyol EFE melaporkan ribuan warga Maghribi berkumpul berhampiran sempadan yang memisahkan bandar Castillejos di Maghribi dengan Ceuta dalam cubaan yang dipercayai diselaraskan untuk memasuki wilayah Sepanyol itu.

Menurut EFE, ratusan orang memanjat pagar sempadan, manakala yang lain menuju ke benteng pemecah ombak dan berenang merentasi laut untuk sampai ke Ceuta.

Pasukan keselamatan Maghribi membentuk kepungan di beberapa kawasan dan menahan beberapa individu, namun banyak kumpulan dilaporkan terus mara ke arah sempadan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement