Skip to main content

Politik

[KOLUMNIS] Sarawak Memilih: Di mana persaingan bakal sengit di sebalik 82 kerusi?

Jika penyandang memberi laluan, sejauh mana calon baharu dapat meraih sokongan pengundi yang sebelum ini memilih penyandang? - Gambar hiasan
Jika penyandang memberi laluan, sejauh mana calon baharu dapat meraih sokongan pengundi yang sebelum ini memilih penyandang? - Gambar hiasan
Advertisement

PADA Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2021, kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan. Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 76 kerusi, Parti Sarawak Bersatu (PSB) empat kerusi dan DAP dua kerusi.

Di sebalik penguasaan GPS di peringkat negeri, enam kerusi menyaksikan persaingan rapat. Di setiap kerusi itu, beza undi antara pemenang dengan pencabar terdekat kurang daripada lima peratus daripada jumlah undi sah. Persaingan paling rapat berlaku di N.68 Tanjong Batu, apabila Johnny Pang Leong Ming daripada GPS merampas kerusi itu daripada DAP dengan kelebihan hanya 23 undi.

Menjelang PRN Sarawak ke-13, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata GPS akan menampilkan gabungan calon berpengalaman dan muka baharu. Kenyataan itu menimbulkan persoalan khusus di kerusi yang pernah dimenangi tipis. Jika penyandang memberi laluan, sejauh mana calon baharu dapat meraih sokongan pengundi yang sebelum ini memilih penyandang?

Advertisement

Kemenangan besar, persaingan rapat

Pada PRN 2016, Barisan Nasional (BN) memenangi 72 daripada 82 kerusi DUN. Daripada 80 kerusi yang menyaksikan pertandingan, dua mencatat margin kemenangan di bawah lima mata peratusan. Pada 2021, GPS memenangi 76 kerusi, sementara enam daripada 82 pertandingan mencatat margin di bawah ambang yang sama. Dengan kata lain, lebih banyak kerusi dimenangi gabungan pemerintah pada 2021, dan pada masa yang sama lebih banyak pertandingan berakhir dengan margin tipis.

Advertisement

Enam kerusi itu ialah N.68 Tanjong Batu, N.54 Pelawan, N.11 Batu Lintang, N.32Simanggang, Ngemah dan Pending. GPS memenangi empat daripadanya. Dua lagi dimenangi Parti Sarawak Bersatu (PSB) di Batu Lintang dan DAP di N.10 Pending. Oleh itu, apabila kita bercakap tentang kerusi marginal, persoalannya meliputi keupayaan GPS mempertahankan kerusi yang pernah dimenanginya secara tipis dan peluangnya mencabar di kerusi yang pernah terlepas dengan beza undi yang kecil.

Dua corak persaingnan di N.49 Ngemah dan N.32 Simanggang 

N.49 Ngemah ialah satu-satunya kerusi yang mencatat margin di bawah lima mata peratusan dalam kedua-dua PRN. Calon BN menang dengan kelebihan 154 undi pada 2016, manakala calon GPS menang dengan kelebihan 261 undi pada 2021. Dalam kedua-dua pilihan raya, pencabar terdekat ialah Joseph Jawa, yang bertanding sebagai calon bebas pada 2016 dan atas tiket PSB pada 2021. Kemunculan pencabar yang sama di tempat kedua walaupun bertukar tiket parti memberi sebab untuk meneliti sejauh mana profil seseorang calon mempengaruhi persaingan di Ngemah.

Di N.32 Simanggang, calon yang sama mempertahankan kerusinya tetapi berdepan keputusan yang jauh lebih rapat. Francis Harden Hollis menang dengan kelebihan 1,388 undi pada 2016 dan 175 undi pada 2021. Perbezaan itu menunjukkan bahawa kelebihan penyandang boleh berubah dengan ketara antara dua pilihan raya. Di Ngemah, persaingan rapat berulang. Di Simanggang, persaingan menjadi lebih rapat walaupun pemenangnya kekal.

Apabila penyandang memberi laluan

Pada 23 Oktober, Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata gabungan itu akan menampilkan calon berpengalaman bersama muka baharu. Beliau turut menjelaskan bahawa ada wakil rakyat yang memilih untuk mengundurkan diri. 

Pada 7 November, beliau menyebut usia, kemahiran, prestasi dan maklum balas sebagai antara pertimbangan pemilihan calon. Kenyataan itu memberi gambaran tentang pertimbangan GPS di peringkat gabungan. Implikasinya akan lebih jelas apabila diketahui siapa yang bertanding dan di kerusi mana.

Di kerusi yang pernah dimenangi tipis, pertukaran calon boleh mengubah persaingan dalam dua arah. Calon baharu boleh membawa kemahiran atau pendekatan yang menarik minat pengundi. Pada masa yang sama, calon itu perlu membina kepercayaan sendiri, terutama jika penyandang mempunyai hubungan yang lama dengan komuniti setempat. Jika penyandang dikekalkan, rekod khidmatnya masih perlu dinilai dalam konteks siapa yang mencabar dan bagaimana pertandingan kali ini terbentuk.

Selepas penamaan calon, perhatian wajar diberikan kepada tiga perkara di kerusi seperti Tanjong Batu, Ngemah dan Simanggang. Siapa yang dipilih untuk mempertahankan kerusi? Siapa pencabar terdekat yang berpotensi muncul? Bagaimana pertandingan satu lawan satu atau pelbagai penjuru boleh mengubah persaingan? Margin lalu membantu menentukan di mana kita patut mula melihat. Senarai calon PRN13 pula akan menentukan soalan yang perlu kita tanya di setiap kerusi.

Nota data: Margin kemenangan ialah beza undi antara pemenang dengan calon di tempat kedua, dibahagikan dengan jumlah undi sah di kerusi berkenaan. Rencana ini menggunakan ambang di bawah lima mata peratusan untuk mengenal pasti pertandingan sengit. Dua kerusi yang dimenangi tanpa bertanding pada 2016 dikecualikan daripada pengiraan margin.


  • Ditulis oleh Ivy Jugah, Pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Sarawak dan calon PhD di UNIMAS. Kajiannya tertumpu pada regionalisme Sarawak dan federalisme Malaysia.
     
  • Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian dalam bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
     

Must Watch Video

Advertisement