SINGAPURA: Kualiti udara di beberapa kawasan di Singapura merosot ke tahap tidak sihat pada pagi Jumaat, dengan Indeks Piawaian Pencemaran (PSI) 24 jam di kawasan tengah republik ini meningkat melepasi bacaan 100, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Pada 9 pagi, bacaan PSI 24 jam di seluruh republik ini adalah antara 75 dan 104, dengan kawasan tengah mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 104 selepas melepasi bacaan 100 pada 7 pagi.
Kualiti udara di kawasan lain kekal pada tahap sederhana, dengan kawasan timur mencatatkan bacaan PSI 89, barat (88), utara (78) dan selatan (75).
PSI 24 jam menunjukkan kualiti udara harian Singapura dan menjadi asas kepada nasihat kesihatan harian NEA. Indeks itu dikira berdasarkan enam bahan pencemar udara iaitu PM2.5, PM10, ozon, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan karbon monoksida.
Menurut tinjauan cuaca NEA, keadaan kering diramal berlaku di banyak kawasan di selatan rantau ASEAN dalam beberapa hari akan datang.
Angin lazim di selatan rantau ASEAN dijangka bertiup dari arah tenggara hingga barat daya, menurut agensi itu.
-- BERNAMA