Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan kesembuhan Ustaz Wadi Annuar yang terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan ke Gerik, Perak.
- Ustaz Wadi kini menerima rawatan di Hospital Gerik akibat kesakitan pada perut dan dada, namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
- Orang ramai diminta memberi ruang kepada Ustaz Wadi untuk berehat dan tidak melakukan kunjungan ziarah buat sementara waktu.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan agar pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar, segera sembuh selepas terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Gerik, Perak, awal pagi Jumaat.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berharap segala urusan rawatan Ustaz Wadi dipermudah dan beliau diberikan ketabahan serta kekuatan untuk menghadapi ujian tersebut.
“Mendoakan Ustaz Wadi Annuar dikurniakan kesembuhan selepas terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Gerik awal pagi tadi.
“Moga Allah SWT mempermudah segala urusan rawatan serta mengurniakan ketabahan dan kekuatan buat Ustaz dalam menempuh ujian ini,” katanya.
Terdahulu, pasukan pengurusan Ustaz Wadi memaklumkan pendakwah itu bersama beberapa kakitangannya terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan di Gerik, Perak, dan memohon orang ramai mendoakan keselamatan serta kesejahteraan semua yang terlibat.
Dalam perkembangan berasingan, Ustaz Wadi dilaporkan telah menerima rawatan di Hospital Gerik selepas mengalami kesakitan pada bahagian perut dan dada, namun berada dalam keadaan stabil.
Dalam makluman terkini, orang ramai turut diminta memberi ruang kepada Ustaz Wadi untuk berehat dan tidak melakukan kunjungan ziarah buat sementara waktu.
Pasukan pengurusan turut merakamkan penghargaan atas doa dan keprihatinan orang ramai, selain berharap agar Allah mengurniakan kesembuhan serta mempermudah segala urusan semua yang terlibat.