Gara-gara bosan dengan ahli-ahli politik yang korup, dua warga bandar Xalapa di Mexico telah bertindak mengetengahkan seekor kucing sebagai calon untuk bertanding jawatan datuk bandar di situ.

Bermula sebagai gurauan, kucing yang bernama Morris itu dipilih kerana bandar tersebut dikatakan penuh dengan ahli-ahli politik yang digelar penduduk tempatan sebagai ‘tikus’.

“Penat mengundi ‘tikus’? Undi lah kucing!” kata pemilik Morris, Sergio Chamorro.

Morris yang ‘ditugaskan’ menghapuskan tikus di bandar itu, bertanding atas slogan kempen ‘Xalapa Tanpa Tikus’.

Halaman Facebook untuk Morris telah mencatat lebih dari 130 ribu ‘like’, jauh meninggalkan calon-calon yang telah pun mendaftarkan diri dalam pemilihan Xalapa, malah lebih dari gabenor Veracruz sendiri.

Mexico bakal mengadakan pemilihan tempatan di setengah kawasan di negara itu pada 7 Julai.

Halaman Facebook dan website Morris dipenuhi dengan karya seni, video serta slogan yang dikirimkan oleh peminat dari seluruh Mexico.

Populariti Morris kini melebihi para calon lain dan namanya dikenali seluruh warga Mexico.

Di Malaysia, sewaktu menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU13), beberapa pengguna media sosial mengambil keputusan untuk menyuntik sedikit keseronokan dan jenaka pada waktu itu dengan 'menubuhkan' parti-parti parodi.

'Parti Kitty', 'Parti Unicorn', dan 'Parti Carebear' merupakan tiga parti politik rekaan di laman sosial Facebook yang telah menarik perhatian dan penyokong alam maya atas talian beberapa bulan lalu.