Skip to main content

Malaysia

Arab Saudi tetapkan bayaran dam lebih awal sebagai pra-syarat visa Haji 1447H/2026M

fotoBERNAMA
Lembaga Tabung Haji memaklumkan pelaksanaan dam melalui ADAHI merupakan syarat baharu yang dikenakan kepada semua jemaah haji seluruh dunia, yang menunaikan haji Tamattuk dan Qiran bagi musim ini. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan Arab Saudi menetapkan setiap bakal jemaah haji yang melaksanakan haji Tamattuk dan Qiran perlu membuat bayaran dam lebih awal kepada The Kingdom of Saudi Arabia Project for Utilisation of Hady & Adahi (ADAHI), sebagai pra-syarat bagi proses pengeluaran visa haji bermula Musim Haji 1447 hijrah/ 2026 Masihi.

Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya akan menguruskan pembayaran dam kepada ADAHI bagi pihak jemaah, dengan kadar ditetapkan sebanyak RM810 bagi seekor kibas untuk musim haji berkenaan.

Advertisement

Jelas TH, bayaran dam perlu ditunaikan mengikut jenis ibadat haji yang dipilih, dengan bakal jemaah haji boleh membuat pembayaran bermula 1 Ramadan melalui aplikasi THiJARI atau di kaunter cawangan TH di seluruh negara.

"Bagi jemaah yang tidak membuat bayaran awal, bermula 1 Syawal TH akan menguruskan pembekuan jumlah bayaran tersebut dalam akaun mereka sebelum proses pendebitan dilaksanakan," kata TH dalam kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, berkata pelaksanaan dam melalui ADAHI merupakan syarat baharu yang dikenakan kepada semua jemaah haji seluruh dunia, yang menunaikan haji Tamattuk dan Qiran bagi musim ini.

"TH mengambil inisiatif memaklumkan kepada jemaah negara lebih awal bagi melancarkan urusan pengeluaran visa haji," katanya.

Beliau menjelaskan semua bakal haji yang melaksanakan haji Tamattuk dan Qiran perlu menjelaskan bayaran dam sebelum tiba di Tanah Suci.

Bagi jemaah yang memilih haji Ifrad pula, bayaran akan dipulangkan semula sekiranya akaun telah didebitkan dan selepas perakuan dibuat, tertakluk kepada pengesahan TH.

Dalam masa sama, TH menjelaskan penyertaan ibadah korban di Tanah Suci tahun ini turut dibuka kepada semua pendeposit pada kadar RM810 bagi seekor kibas.

TH menambah pembayaran korban boleh dibuat melalui aplikasi THiJARI atau di kaunter cawangannya.

TH turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap sebarang tawaran pembayaran dam dan Qurban yang mencurigakan daripada agensi pelancongan atau mana-mana pihak yang tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa Arab Saudi.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi TH atau menghubungi TH Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.

Must Watch Video