MOSCOW: Dua ekor kucing di Saint Petersburg, Rusia yang digelar kucing kembar tercantik di dunia kini mengumpul hampir 200,000 pengikut di Instagram.

Laporan Sputnik News menyebut, @sis.twins mengumpul 193,000 pengikut dengan sebahagian besar peminat kucing tersebut berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kucing kembar yang diberi nama Iriss dan Abyss telah menarik perhatian peminat haiwan peliharaan kerana memiliki sepasang mata heterokmatik iaitu warna mata yang berbeza.

Kedua-duanya memiliki anak mata berwarna biru dan kuning.

Susulan itu, ramai pengikut beranggapan bahawa Iriss dan Abyss mempunyai baka Turkish Angora atau Turkish Van.

Namun pemiliknya, Pavel Dyagilev mengakui kucing kembar tersebut sebenarnya kucing domestik biasa dan mata heterokmatik pada Iriss serta Abyss menjadikan ia kelihatan lebih menonjol dan istimewa.

"Biarpun mereka adalah kembar, namun karakter mereka amat berbeza.

"Iriss amat mudah menerima arahan tetapi Abyss lebih bersikap seperti diva sejati," ujarnya.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.