BANGKOK:Thai Airways International (THAI) dijadualkan untuk membawa kumpulan pertama 200,000 dos vaksin COVID-19 dari China ke Thailand pada 24 Feb.

Pengerusi THAI Chaiyapruk Didyasarin berkata, Kementerian Kesihatan Awam telah memilih syarikat penerbangan itu untuk membawa vaksin yang dibangunkan syarikat farmaseutikal China Sinovac Biotech Co.

Beliau berkata pesawat Airbus A350-900 Thai Airways akan berlepas daripada China 6.50 pagi waktu tempatan pada 24 Feb dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok pada 11.05 pagi hari yang sama.

"Syarikat penerbangan itu telah bersedia untuk tugas yang penting ini dengan kontainer yang boleh menyimpan barangan pada suhu antara -20 darjah Celsius ke +20 darjah Celsius.

"THAI mempunyai kakitangan yang berpengalaman dalam membawa kargo yang memerlukan kawalan suhu yang ketat," katanya seperti dilaporkan Bangkok Post.

Sehingga kini Pentadbiran Makanan dan Ubat Thailand (FDA), masih belum memberikan kelulusan untuk penggunaan kecemasan COVID-19 untuk vaksin daripada Sinovac Biotech China.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvikural berkata Thailand dijangka untuk memulakan vaksinasi COVID-19nya, tiga hari selepas ketibaan vaksin tersebut pada 24 Feb.

"Jabatan Sains Perubatan akan memeriksa vaksin tersebut semula, sebelum permulaan program tersebut," katanya.

Sementara itu Thailand merekodkan 72 kes baharu COVID-19 dan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara itu kepada 24,786 dan 82 kematian.

Daripada 72 kes baharu, 48 kes menerusi pengesanan aktif kes, 21 yang mendapatkan rawatan di hospital, manakala tiga lagi kes dilaporkan di pusat kuarantin alternatif (ASQ).

-- BERNAMA