KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Malaysia berusia 22 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas didakwa cuba menyeludup hampir satu kilogram syabu dan lebih 1,000 pil ekstasi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Sidoarjo, Surabaya.
Suspek yang dikenali dengan singkatan DI ditahan sejurus tiba di Terminal 2 selepas menaiki penerbangan Batik Air OD352 dari Kuala Lumpur ke Surabaya, lapor agensi berita Indonesia, Jakarta Globe hari ini.
Pemeriksaan mendapati suspek menyembunyikan empat bungkusan mengandungi 990 gram syabu serta empat lagi bungkusan mengandungi 1,089 pil ekstasi di bawah korset yang dipakainya bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Komander Pangkalan Udara Tentera Laut Juanda, Kolonel Henoch Nasairus Virzawan berkata cubaan suspek bagaimanapun berjaya dipatahkan hasil pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang.
Menurut siasatan awal, suspek mengaku menjadi keldai dadah bagi sindiket pengedaran dadah antarabangsa kerana berdepan masalah kewangan dan menanggung hutang.
Pihak berkuasa Indonesia menganggarkan nilai rampasan itu mencecah 2.79 bilion rupiah (kira-kira RM790,000) dan dipercayai mampu dibekalkan kepada lebih 6,500 pengguna.
Suspek diserahkan kepada Polis Sidoarjo bagi membantu siasatan lanjut termasuk mengenal pasti rangkaian sindiket yang dipercayai terlibat.
Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun, penjara seumur hidup atau hukuman mati mengikut undang-undang Indonesia.
Kes berkenaan berlaku hanya beberapa hari selepas juruterbang rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta kerana disyaki cuba menyeludup lebih 25 kilogram pil ekstasi.
Juruterbang berkenaan, yang dikenali sebagai MS, ditahan pada 28 Julai selepas pemeriksaan terhadap bagasinya menemukan lebih 70,000 pil ekstasi seberat 25.19 kilogram serta sejumlah kecil syabu.
Siasatan mendapati MS didakwa dijanjikan bayaran RM50,000 untuk menghantar dadah berkenaan ke Jakarta dan turut mengaku pernah terbabit dalam dua operasi penyeludupan dadah sebelum ini.